Generasi muda tak perlu bimbang, Felda tetap bantu jika projek pertanian gagal dapat pulangan


  • Massa
  • Rabu, 19 Nov 2025

Penglibatan generasi muda dapat membantu meningkatkan kemajuan sektor pertanian dan perladangan di Malaysia. — Gambar hiasan/AI

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini giat memperkasakan inisiatif bagi menggalakkan penyertaan generasi muda dalam sektor perladangan dan pertanian.

Penggunaan teknologi moden itu juga bertujuan meringankan beban kerja di samping meningkatkan produktiviti ladang.

Sebagai usaha memikat semula minat golongan muda untuk bekerja di ladang, pihaknya memberi keutamaan kepada anak peneroka dengan menyediakan lot generasi, kemudahan perumahan serta pelbagai inisiatif meliputi perubatan dan kenderaan bagi mereka yang berkhidmat di tanah rancangan Felda.

BACA LAGI: Hanya 5 peratus rakyat tempatan di ladang, Felda akui persepsi 'gaji sama, insentif beza' cabaran tarik minat anak muda

BACA LAGI: Rakam video, provokasi guna kayu antara tindakan berbahaya, sepatutnya serah pada pasukan profesional — PERHILITAN Johor

Penglibatan Felda menerusi program Jelajah Sawit Hijau MPOGCF membantu memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada masyarakat.

Mengulas lanjut, Penolong Pengarah Jabatan Kelestarian Felda, Mohamad Zulhilmi Azmi menjelaskan bahawa usaha tersebut bagi membendung cabaran golongan muda yang kurang berminat dengan pekerjaan melibatkan ketahanan fizikal serta kemahiran teknikal.

Menurutnya, setiap program pertanian yang ditawarkan akan dinilai potensinya untuk membawa pulangan dan manfaat kepada individu mahu pun pihak Felda.

"Peluang ini kita tawarkan kepada generasi kedua dan ketiga kalau mereka ada cadangan nak bangunkan ladang atau kebun boleh bentangkan kepada pengurusan kami.

"Jadi, kita akan tapis dan tengok potensi pulangannya," katanya kepada Majoriti.

Mohamad Zulhilmi menjelaskan langkah dan bantuan Felda terhadap pemohon projek pertanian yang diuruskan oleh pihaknya.

Pihak Felda bagaimanapun akan mengambil tindakan lanjut sekiranya projek yang dibangunkan tidak berhasil atau gagal mendapat pulangan.

"Pertama, kita akan tengok projek itu sendiri dan mencari punca kenapa dia tak mendapat pulangan atau gagal.

"Kita juga akan siasat dan cuba untuk selesaikan masalah itu.

"Tetapi sekiranya masih lagi tidak berjaya, kita akan beri bantuan daripada aspek lain dan mungkin perlu melibatkan kolaboratif bersama pihak luar yang pakar dalam bidang ini," jelasnya.

Beliau pada masa sama menerangkan bahawa pihak Felda tidak menetapkan sebarang had tempoh untuk melihat keberkesanan atau kejayaan sesuatu projek.

Katanya, tempoh tersebut bergantung kepada sesuatu projek dan permohonan pihak pemohon.

Antara inisiatif yang ditawarkan oleh Felda untuk generasi muda.

Menyentuh pula tentang kelayakan pemohon, Mohamad Zulhilmi berkata, keutamaannya masih tertumpu kepada generasi baharu yang berasal dan menetap di kawasan Felda.

"Ini bertujuan untuk kita tingkatkan lagi penglibatan generasi yang tidak berhijrah ke bandar.

"Untuk kriterianya pula kita akan utamakan yang ada kompetensi atau kepakaran dalam bidang ini," ujarnya.

Langkah tersebut juga diambil bagi meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan warga tempatan.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Jabatan Kelestarian Felda, Mohamad Firdaus Mansor, mendedahkan bahawa hanya lima peratus tenaga kerja di ladang Felda ketika ini terdiri daripada pekerja tempatan, manakala majoritinya masih bergantung kepada warga asing.

Selari dengan usaha itu, Felda turut bekerjasama dengan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menerusi program Jelajah Sawit Hijau di Paradigm Mall, Johor, Sabtu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram