Wanita Banting kental jelajah solo serata dunia, sukar lupakan keindahan Switzerland


  • Hobi
  • Ahad, 29 Sep 2024

Amirah Azhari gemar menjelajah ke banyak negara luar untuk rasai pengalaman berbeza-beza sejak zaman universiti.

ALANGKAH indahnya mampu mengembara ke luar negara sekerap mungkin, itulah harapan bagi individu yang gemar menjelajah ke luar negara.

Seorang wanita, Amirah Azhari memiliki hobi mengembara dan kini sudah menjelajah ke kira-kira 24 tahun sejak memulakan pengembaraan sekitar tahun 2009.

Antara negara yang pernah dijejaki adalah Jordan, Bali, Indonesia; Balkan, Eropah; India; Kashmir; Swiss dan Paris.

BACA LAGI: Retak tulang belakang tak halang anak jati Johor tawan puncak ABC, sedang buat persiapan menuju Everest

BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental

photo_6320832872386249997_y

Amirah sewaktu menjelajah ke Jordan pada 2015.

Semangatnya dalam menjelajahi pelbagai negara menjadikannya seorang pengembara yang berani dan berdikari.

Manakan tidak, Amirah kini sudah mampu bergerak solo untuk merantau ke negara orang demi meneroka budaya dan merasai cara hidup yang berbeza di setiap negara.

"Pertama kali saya mengembara secara sendirian waktu 2019 di Jeju, Korea.

"Saya juga pernah mengembara secara solo di Nepal, Lombok dan Indonesia," katanya kepada Majoriti.

Anak jati Banting itu berkata, dia gemar mengembara ke luar negara, terutamanya ke destinasi yang menonjolkan pemandangan gunung dan salji kerana memberikan pengalaman yang menenangkan.

WhatsApp Image 2024-09-27 at 8.25.10 PM

Amirah sewaktu berada di Murren, yang terletak di pergunungan Switzerland.

Mengimbau kenangan indah sewaktu berada di luar negara, Amirah beranggapan bahawa destinasi paling menarik yang pernah dikunjungi adalah sewaktu berada di Switzerland, Eropah Tengah.

Gunung yang tinggi serta dilitupi salji memberikan pemandangan alam semula jadi dirasai sangat mempersonakan, terutamanya ketika wanita berusia 35 tahun itu mengunjungi negara berkenaan pada musim sejuk iaitu Oktober 2023.

"Dapat peluang lihat kawasan pergunungan Titlis dan Grindelwald depan mata memang sangat indah. Sewaktu itu saya naik kereta api bernama Bernina Express. Pemandangan pergi dan balik macam dalam movie.

"Kereta api itu bermula dari Swiss dan laluan berakhir ke Itali. Tetapi disebabkan saya hanya nak rasai pengalaman naik train jadinya tidak masuk sampai ke Itali.

"Poin bermula daripada stesen kereta api Chur, Swiss dan berhenti di Saint Moritz. Saya naik kereta api biasa dan naik juga Bernina Express.

"Jadinya, saya dapat pengalaman berada dalam dua jenis kereta api walaupun laluan yang sama," katanya.

Tidak hanya itu, pengalaman ketika berada di Balkan juga disifatkan sebagai satu memori yang sukar dilupakan.

photo_6321270143006654370_y

High tatras di Slovakia antara salah satu tempat menarik yang dikunjungi Amirah sewaktu di Balkan.

Manakan tidak, Balkan yang terletak di tenggara Eropah itu terdiri daripada beberapa negara seperti Albania, Bosnia dan Herzegovina, Bulgaria, Croatia, Kosovo, Montenegro, Macedonia Utara, Romania, Serbia, dan Slovenia.

"Rasai macam-macam jenis pengangkutan awam seperti bas dan kereta api. Saya juga buat aktiviti lasak macam mendaki dan water rafting di kawasan pergununan High Tatras di Slovakia," katanya.

Umum mengetahui bahawa High Tatras mempunyai beberapa tasik glasier yang jernih, antaranya Strbske Pleso dan Popradske Pleso yang menjadikan lokasi itu satu memori yang menyeronokkan buat pelancong.

Kejernihan airnya menambah pesona kawasan ini sehingga mampu menjadi destinasi yang sempurna bagi mereka yang mencari ketenangan di alam semula jadi.

"Saya suka kalau dapat betul-betul nikmati permandangan, budaya dan makanan setiap negara yang saya pergi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram