Pernah dianggap terlalu tua untuk jadi idola K-pop, Ejae kini cetus fenomena muzik global


  • Sukses
  • Ahad, 16 Nov 2025

Ejae kini mengintai peluang untuk meraih pencapaian yang lebih tinggi dengan memenangi anugerah di pentas Grammy. — Agensi

DALAM sekelip mata, nama Kim Eun-jae atau lebih dikenali sebagai Ejae mencuri tumpuan peminat muzik global selepas bakatnya sebagai penyanyi dan penulis lagu melonjak ke puncak perhatian.

Pada usia 34 tahun, beliau kini menjadi figura penting di sebalik kejayaan lagu Golden, single utama runut bunyi (OST) asal filem animasi Netflix yang sedang mencetus fenomena, KPop Demon Hunters.

Sejak ditayangkan pada Jun lalu, filem berkenaan mencatat sejarah sebagai filem animasi paling banyak ditonton di Netflix.

BACA LAGI: [VIDEO] Karya pernah dianggap lukisan 'conteng-conteng', Mulaika enggan peduli komen skeptikal

BACA LAGI: Idea spontan suami isteri pindah Langkawi, ubah sisi kehidupan dari kerjaya di bandar besar ke bisnes dusun tropika

 

 

Sementara lagu Golden pula berada di landasan kukuh untuk menawan carta Billboard Hot 100, selepas menduduki tangga kedua beberapa minggu lalu.

Malah, Netflix telah menghantar lagu itu untuk pencalonan Anugerah Akademi (Oscars) 2026, menandakan keyakinan besar terhadap karya tersebut.

KPop Demon Hunters menceritakan tentang kumpulan gadis K-pop popular Huntr/x yang secara rahsia bertugas sebagai pemburu syaitan bagi menentang raja syaitan dan kumpulan lelaki syaitan, Saja Boys.

Dalam filem tersebut, Ejae menjadi suara nyanyian watak Rumi, sekali gus mengangkat namanya sebagai nadi vokal penting dalam projek berprofil tinggi itu.

Selain Golden, Ejae turut menulis beberapa lagu lain untuk runut bunyi filem tersebut termasuk Your Idol, How It’s Done dan The Hunter’s Mantra.

Menurut laporan majalah Rolling Stone, album runut bunyi itu mencatat pencapaian debut tertinggi bagi sebuah OST pada 2025, manakala Ejae sendiri meraih hampir 100,000 pengikut baharu di Instagram hanya dalam tempoh sebulan.

Berikut sorotan perjalanan seni Ejae, komposer Korea-Amerika yang kini menjadi fenomena global:

1) Cucu legenda

Ejae (tengah) merupakan cucu kepada pelakon legenda Korea Selatan, Young-kyun (kiri).

Menurut International Business Times, Ejae ialah cucu kepada pelakon legenda Korea Selatan, Shin Young-kyun, yang membintangi lebih 300 filem dan terkenal dengan sumbangannya pada industri perfileman.

Pada 2011, ketika Ejae baru berusia 19 tahun, beliau pernah muncul bersama datuknya dalam program terbitan Korean Broadcasting System, yang mana beliau menyanyikan lagu I Will Always Love You versi Dolly Parton yang dipopularkan Whitney Houston.

2) Trainee

Ejae (tengah) menulis beberapa lagu lain untuk runut bunyi filem KPop Demon Hunters termasuk Your Idol, How It’s Done dan The Hunter’s Mantra. — Instagram/ejae_k

Beliau pernah menjalani latihan intensif sebagai trainee dari 2003 hingga 2015 di agensi hiburan SM Entertainment.

Ejae bagaimanapun tidak pernah debut kerana dianggap 'terlalu tua' untuk menjadi idola K-pop tradisional.

Kisah beliau juga pernah tular di TikTok sehingga mencetuskan perdebatan mengenai standard kecantikan dan penilaian bakat dalam industri.

“Sewaktu kecil saya banyak terluka, tapi saya fikir penolakan sebenarnya mengubah arah hidup ini.

"Saya percaya semua perkara berlaku ada sebab dan belajar daripada ujian itu lebih penting,” tuturnya.

Selepas meninggalkan SM Entertainment pada 2011, Ejae menyambung pengajian di Tisch School of the Arts, New York University, sebelum kembali ke agensi berkenaan pada 2017 sebagai penulis lagu.

Ejae pernah dianggap 'terlalu tua' untuk menjadi idola K-pop tradisional. — Agensi

Di situlah lahirnya lagu hit Psycho untuk kumpulan Red Velvet, yang meraih sijil emas di New Zealand dan platinum di Korea Selatan.

Ketika diberi peluang menghasilkan Golden, Ejae yang pernah menulis lagu untuk Twice, Aespa dan Le Sserafim berkata, beliau mahu mencipta karya yang mampu bersaing dengan mana-mana idola K-pop di luar sana.

Menurutnya, proses itu berlaku ketika beliau melalui detik sukar sehingga dirinya pernah menangis sewaktu merakam demo.

“Sekarang ramai manusia yang perlukan harapan dan lagu ini memberikan rasa itu.

"Ia mengangkat konsep semangat dan kekuatan. Jadi saya rasa itu yang dunia perlukan ketika ini,” katanya kepada BBC.

3) Benny Blanco versi K-pop

Kisah Ejae pernah tular di TikTok sehingga mencetuskan perdebatan mengenai standard kecantikan dan penilaian bakat dalam industri. — Agensi

Berkebolehan menghasilkan lagu hit tanpa kerap tampil di hadapan, Ejae turut digelar sebagai 'Benny Blanco untuk dunia K-pop'.

Blanco ialah penerbit rakaman, penulis lagu, eksekutif rakaman dan penulis dari Amerika Syarikat (AS) yang juga seorang pemuzik dan multi-instrumentalis.

Beliau juga figura penting di sebalik lagu-lagu Kesha, Katy Perry, Ed Sheeran dan Rihanna.

4) Grammy

Lagu Golden pula berada di landasan kukuh untuk menawan carta Billboard Hot 100. — Agensi

Kini, Ejae mengintai peluang meraih pencapaian yang lebih tinggi yakni memenangi anugerah di pentas Grammy selepas dicalonkan beberapa kategori termasuk Song of the Year.

“Jika saya menang, ia bukan hanya kejayaan peribadi, sebaliknya ia adalah mesej untuk setiap gadis Asia-Amerika yang pernah menganggap diri mereka tidak cukup bagus dalam industri ini,” katanya.

Daripada seorang trainee yang ditolak akibat usia, kepada penulis lagu yang mendominasi carta global, Ejae membuktikan bakat yang sebenar sentiasa menemukan jalannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram