Biar awal tak kalut! Wanita praktik 4 cara mudah masak waktu pagi sebelum pergi kerja, sempat siap stok seminggu


  • Bonda
  • Selasa, 18 Nov 2025

Individu berkerjaya dan mempunyai jadual yang padat boleh menggunakan tip dikongsikan. — Gambar hiasan/AI

MENGURUSKAN keperluan rumah seperti memasak sememangnya perlu menggunakan cara sesuai bagi individu yang bekerja dan memiliki jadual padat setiap hari.

Disebabkan kekangan masa, justeru semakin ramai memilih kaedah lebih praktikal dan mudah untuk menyediakan hidangan terutama pada waktu pagi.

Berdasarkan perkongsian warga maya di aplikasi Threads, terdapat beberapa tip memasak dengan pantas tanpa menghabiskan waktu terlalu lama di dapur.

BACA LAGI: Mata anak rosak, 'power' cecah 800 punca 'menghadap' gajet, Dr. Muhaya kongsi rawatan ideal, ada harapan pulih

BACA LAGI: Projek DIY ubah suai laman rumah jadi taman mini, tetap muat parkir kereta, motosikal

Penyediaan bahan masakan untuk kegunaan tempoh yang lama dapat menjimatkan masa. — Gambar hiasan/AI

Menerusi hantaran dikongsikan pengguna akauan @wanorayuni, cara tersebut merangkumi proses penyediaan awal bahan masakan, perancangan menu sehingga teknik menyimpan stok hidangan dengan lebih teratur.

Antaranya tip:

1. Masak nasi untuk seminggu

Bagi yang tidak banyak masa di rumah, anda boleh memasak nasi dan membahagikannya kepada tujuh bekas sebelum disimpan di dalam peti sejuk beku.

"Bangun pagi tinggal kukus sahaja, 8 minit siap. Tak perlu basuh beras dan periuk.

"Bonusnya dapat makan nasi yang rendah indeks glisemik," katanya.

2. Kisar bahan sebelum tidur

"Kalau perlu kisar semua bahan, buat sahaja waktu malam sebelum tidur dan simpan dalam peti ais.

"Manakala pes sambal pula masak terus untuk kegunaan sebanyak empat hingga lima kali," tulisnya sambil menambah bahawa segala bahan mentah perlu disimpan rapi di dalam peti sejuk.

Menurutnya, lauk tambahan seperti sayur-sayuran boleh ditukar kepada ulam pada hari bekerja.

Sementara itu, hidangan berat boleh dimasak pada hari cuti atau hujung minggu.

3. Senarai menu untuk seminggu

Membeli bahan masakan seperti lauk dan sayur berdasarkan menu yang sudah dirancang juga dapat menjimatkan masa.

"Lauk siap-siap bungkus untuk setiap menu dan tinggal masak yang perlu sahaja.

"Sebulan sekali beli barang dapur kering. Siapkan bajet terlebih dahulu supaya tidak beli bahan yang tidak perlu.

"Jangan sampai pasar raya baru fikir nak masak apa sebab akhirnya akan beli yang tidak sepatutnya dan akan tertinggal barang yang sepatutnya beli," jelasnya.

Woman with notebook in grocery store, closeup. Shopping list on paper

Membuat senarai menu dan bahan mentah turut membantu menguruskan keperluan harian dengan teratur. — Gambar hiasan

4. Jangan paksa diri masak lebih tiga jenis hidangan

Bagi suami isteri yang mempunyai jadual kerja dan cuti berbeza tidak digalakkan untuk menyediakan pelbagai jenis hidangan pada satu masa.

"Nanti akan rasa penat dan kelam kabut nak kemas dapur dan esoknya sudah malas untuk masak sebab terlalu berat.

"Yang penting seimbangkan masakan, karbohidrat, protein dan fiber untuk sekali makan.

"Memasak ini perlu rasa gembira, kalau penat, rehat sehari dan ambil semangat untuk sambung semula," jelasnya.

Selain golongan pasangan berkerjaya, individu bujang juga digalakkan untuk mengamalkan rutin tersebut agar tidak terburu-buru untuk ke tempat kerja.

"Saya bujang pun buat seperti ini untuk makan pagi sebelum pergi kerja.

"Nasi memang akan masak waktu malam, lauk pula simpan di peti bawah (bukan beku) jadi, esoknya masih lembut dan boleh panaskan.

"Kalau sempat boleh buat sambal dan sayur tumis sedikit," kongsi @llunaamokhtar_.

Ia bukan sahaja membantu menjimatkan masa, malah dapat memastikan setiap hidangan selamat dimakan dan mudah disediakan sebelum keluar ke tempat kerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram