Rakam video, provokasi guna kayu antara tindakan berbahaya, sepatutnya serah pada pasukan profesional — PERHILITAN Johor


  • Massa
  • Selasa, 18 Nov 2025

Pengunjung termasuk kanak-kanak diberi pendedahan berkaitan pemuliharaan hidupan liar.

KONFLIK antara manusia dan hidupan liar sememangnya menjadi antara isu yang terus dibincangkan.

Aktiviti pembangunan seperti perubahan landskap, pembukaan kawasan baharu dan kegiatan pertanian secara tidak langsung membuatkan hidupan liar keluar dari hutan atau habitat asal, lalu 'mendekati' penempatan manusia.

Pertindihan ruang hidup itu juga sekali gus menimbulkan risiko bukan sahaja kepada manusia, malah memberi ancaman terhadap haiwan.

BACA LAGI: Bakal lancar buku Tapak Hidupan Liar, MPOGCF ada hasrat 'terbangkan' siri Jelajah Sawit Hijau ke Borneo

BACA LAGI: Jelajah Sawit Hijau Siri 3 meriah, aspek kebajikan, kesejahteraan hidupan liar terus diperhebat

Informasi tentang hidupan liar secara langsung oleh pasukan PERHILITAN Johor pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF. — The Star

Menurut Penolong Pegawai Hidupan Liar, Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Afzan Sohaime, masih ramai pihak kurang memahami tingkah laku hidupan liar, tetapi berani melakukan provokasi secara sengaja.

Tegas beliau, tindakan mendekati haiwan secara melulu walaupun dengan niat untuk menyelamatkan diri mengundang risiko bahaya.

“Sebenarnya setiap haiwan yang jinak sekalipun, kita tidak boleh melakukan provokasi.

“Begitu juga dengan hidupan liar kerana ia tidak akan sesekali menyerang manusia, melainkan sakit atau cedera atau diprovokasi.

“Selalunya situasi provokasi yang sering kita lihat adalah cubaan memukul dengan kayu bertujuan untuk menghalau,” katanya ketika ditemui Majoriti pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF Siri 3 di Paradigm Mall, Johor Bahru, Sabtu lalu.

Meskipun tindakan spontan tersebut dikatakan untuk mengelakkan sebarang bahaya, beliau menjelaskan bahawa cara itu tanpa sedar membuatkan haiwan rasa terancam.

Bukan itu sahaja, tindakan mendekati dan merakam video ketika berdepan dengan haiwan liar juga sebenarnya mewujudkan situasi bahaya.

“Ada juga sengaja merakam kononnya 'content' untuk dimuatnaik di media sosial.

“Hidupan liar ini sangat sensitif dan apabila dengar bunyi bising ia akan rasa diri diancam dan mula untuk menyerang manusia,” jelasnya.

Afzan menjadi antara individu penting dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Mengulas lanjut, perihal konflik melibatkan antara manusia dan gajah khususnya beliau tidak menolak bahawa terdapat segelintir pihak terutama pemilik kebun atau ladang sawit sanggup bertindak kejam terhadap haiwan tersebut.

Katanya, ada kematian gajah direkodkan berpunca diracuni oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita ambil contoh di Johor terutamanya Kluang, ada lebih kurang lima ekor gajah mati diracun pada tahun lalu (2024).

“Bila ia berlaku ekosistem akan terganggu sehingga mengurangkan jumlah gajah. Meskipun nampak seolah-olah gajah ini banyak hakikatnya tidak.

“Populasi gajah di Johor sahaja anggaran 150 hingga 200 ekor.

“Walhal, aktiviti perladangan dan gajah saling memerlukan. Misalnya, najis haiwan itu membantu dalam penyebaran biji benih,” katanya.

Tambahnya, antara daerah di Johor sering mengalami konflik manusia-gajah ialah Kluang, Kota Tinggi, Mersing dan Segamat.

Afzan (kiri) memberi pendedahan kepada pengunjung tentang ilmu berkaitan pemuliharaan hidupan liar.

Beliau turut mendedahkan Kluang menjadi antara daerah kerap dilaporkan menjadi tumpuan kehadiran gajah liar kerana kawasan itu aktif menjalani aktiviti perladangan.

“Banyak ladang baharu dibuka dan ada ambil masa sedikit lama terutama untuk penanaman semula.

“Ia melibatkan proses chipping yang seolah-olah pesta makanan untuk gajah.

“Jadi, bila tempat itu sedang buat proses chipping, gajah-gajah akan masuk untuk mencari makanan.

“Gajah di Kluang juga kebanyakannya di tepi jalan raya, pada masa sama tarik perhatian orang ramai yang lalu kawasan tersebut,” jelasnya.

Chipping pokok kelapa sawit merupakan proses memotong batang dan daun sehingga menjadi cip kecil.

Proses tersebut penting untuk meningkatkan produktiviti ladang dan menyokong pertanian mampan.

Dalam usaha menangani situasi itu, beliau menyarankan agar orang ramai tidak mudah bertindak melulu, sebaiknya menghubungi pihak bertanggungjawab.

Pendekatan profesional dan teratur juga diperlukan bagi memastikan hubungan manusia dan hidupan liar kekal seimbang, selaras dengan keperluan ekosistem dan keselamatan masyarakat.

Proses chipping pokok kelapa sawit yang dilakukan oleh peladang atau pekebun. — Gambar hiasan/Pelantar Trading 

“Sekiranya ada gajah yang memberi ancaman kepada manusia, kita ada tiga kaedah yang boleh lakukan.

“Pertama, pihak kami akan membuat tangkap dan pindah.

“Kita akan pindahkan gajah itu ke habitat yang sesuai.

“Kedua, kita akan tembak dan halau. Tembak halau ini biasanya dilakukan pada gajah-gajah yang tidak memberi ancaman.

“Contohnya hanya datang sekali-sekala. Jadi, kita akan tembak halau ke kawasan hutan yang berhampiran.

“Ketiga, ini biasanya kita akan praktikkan sekiranya gajah itu memang betul-betul menyerang manusia, iaitu dengan tembak mati.

“Cara ini digunakan bila ia dah serang hingga mencederakan manusia,” ujarnya.

Beliau menambah, setakat ini, pasukan utama untuk menguruskan berkaitan gajah hanya satu iaitu Unit Tangkapan Gajah (UTG) PERHILITAN Johor.

Unit yang turut diketuai oleh beliau itu melibatkan operasi bersepadu seperti tangkapan dan perpindahan lokasi gajah untuk seluruh kawasan di Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram