KEHAMILAN dan kelahiran merupakan antara proses yang memberi tekanan besar kepada tubuh wanita.
Menurut pakar perubatan tradisional dari Pusat Kesihatan Chien Chi Tow, China, Dr. Judy Chen, kelahiran normal melibatkan pengecutan rahim, pengembangan serviks dan kehilangan darah yang banyak.
Bagi kelahiran secara pembedahan (caesarean), luka pada perut dan rahim memerlukan masa lebih lama untuk pulih.

Berpantang merupakan proses pemulihan tubuh ibu selepas melahirkan. — Gambar hiasan
Manakala, pengasas bersama Ukashah Confinement Meals, Aszafirah Abu berkata, proses bersalin dianggap mengganggu keseimbangan tubuh dan menyebabkan angin serta kehilangan darah.
Maka, tubuh juga perlu ‘dipanaskan’ dan dipulihkan melalui makanan berkhasiat dan rehat yang cukup.
Bagi pengasas ArujAyur Health and Wellness, Dharna Tiku pula, tubuh wanita selepas bersalin mengalami penyusutan tenaga dan tisu serta ketidakseimbangan sistem dalaman.
Maka, makanan berempah dan bersifat hangat amat diperlukan untuk mengembalikan tenaga, menguatkan penghadaman dan menstabilkan emosi.
Ketiga-tiga budaya percaya bahawa tempoh berpantang amat penting pemulihan yang baik dalam tempoh sebulan pertama selepas bersalin boleh mempengaruhi kesihatan wanita untuk jangka panjang.

Sup herba antara hidangan perpantang terkenal dalam masyarakat Cina. — Gambar hiasan
Amalan berpantang dalam budaya Cina
Dalam perubatan tradisional Cina, wanita selepas bersalin dianggap berada dalam keadaan sejuk dan lemah.
Justeru, makanan berasaskan haba dan hangat amat digalakkan.
Makanan disediakan untuk memulihkan tenaga dan darah, menguatkan rahim serta meningkatkan penghasilan susu ibu.
Antara hidangan berpantang popular adalah ayam masak halia bersama minyak bijan.
Hidangan itu dipercayai menghalau angin seju dan menguatkan rahim.
Manakala, sup ikan dengan betik muda boleh merangsang pengeluaran susu.
Air kosong biasanya digantikan dengan teh kurma merah dan longan kering yang membantu menenangkan jiwa dan memanaskan badan.
Tempoh berpantang dalam budaya masyarakat Cina lazimnya adalah selama 28 hari.

Biji karom yang seakan-akan jintan sering dijadikan bahan utama dalam hidangan berpantan masyarakat India. — Gambar hiasan
Amalan berpantang dalam budaya India
Berasaskan perubatan ArujAyur, makanan berpantang masyarakat India memberi penekanan pada unsur panas, berlemak dan berempah lembut bagi menstabilkan tenaga yang terganggu semasa bersalin.
Rempah seperti halia, kunyit, jintan, halba dan ajwain (biji carom) digunakan untuk mengurangkan sakit sendi dan angin, mengembalikan tenaga, menyokong penyusuan serta pencernaan.
Antara hidangan terkenalnya adalah methi laddoo (manisan halba) untuk merangsang susu, kheer (bubur nasi susu) dengan halia dan kacang bagi menambah tenaga,
Susu herba hangat dengan kunyit, buah pelaga dan minyak sapi (ghee) untuk membantu tidur dan pemulihan.
Dalam dua minggu pertama, ibu biasanya hanya mengambil makanan lembut seperti bubur sebelum beralih ke hidangan lebih berprotein apabila sistem pencernaan kembali kuat.
Tempoh berpantang pula biasanya sekitar 42 hari atau lebih.

Set makanan berpantang yang sering dilengkapi dengan halia. — Gambar hiasan
Amalan berpantang dalam budaya Melayu
Bagi masyarakat Melayu, amalan berpantang berpaksikan pada konsep memanaskan badan dan membuang angin.
Menurut Amirudin Zain dari Ukashah Confinement Meals, bahan-bahan seperti halia, kunyit, lada hitam, kayu manis, isi dan organ ayam atau daging lembu sering digunakan bagi memulihkan darah dan tenaga ibu.
Selain makanan, ibu juga digalakkan untuk mengambil minuman jamu yang merupakan campuran herba tradisional.
Ia dipercayai dapat membantu melancarkan peredaran darah, mempercepat penyembuhan luka serta menambah susu ibu.
Bagi ibu yang mempunyai jahitan selepas melalui pembedahan, ikan haruan sering dijadikan menu utama kerana dipercayai membantu menyembuhkan luka dalaman dengan lebih cepat.
Tempoh berpantang bagi masyarakat Melayu biasanya mengambil masa selama 44 hari.

Tiram mentah dan sejuk antara makanan yang tidak digalakkan oleh ibu ketika berpantang. — Gambar hiasan
Pantang larang pemakanan semasa berpantang
Walaupun berbeza budaya, ketiga-tiga tradisi mempunyai larangan yang hampir serupa.
1. Mengelakkan makanan dan minuman sejuk, seperti ais, sayuran sejuk (kobis, tauge, kangkung) atau buah-buahan seperti tembikai dan timun.
2. Elakkan makanan mentah seperti sashimi atau sayur tidak dimasak.
3. Kurangkan makanan terlalu pedas atau berminyak kerana boleh mengganggu pencernaan dan rasa susu ibu.
4. Elakkan makanan laut tertentu seperti udang, kerang atau ikan berduri tajam yang dipercayai melambatkan penyembuhan luka.
5. Makanan diperam seperti jeruk dan yogurt berlebihan juga perlu dielakkan kerana boleh menyebabkan angin dan asid dalam perut.
Sementara itu, makanan berpantang bukanlah sekadar untuk memulihkan tubuh, tetapi menjadi bentuk kasih sayang dan keprihatinan dalam sesebuah keluarga.
"Apabila seorang ibu menikmati makanan yang sedap, berkhasiat dan disediakan dengan penuh kasih sayang, ia akan memberi kesan positif kepada emosi dan semangatnya," kata Aszafirah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
