Bakal lancar buku Tapak Hidupan Liar, MPOGCF ada hasrat 'terbangkan' siri Jelajah Sawit Hijau ke Borneo


  • Massa
  • Ahad, 16 Nov 2025

Jelajah Sawit Hijau MPOGCF bertujuan memberi pendedahan tentang kepentingan industri sawit dan melindungi hidupan liar kepada masyarakat.

DALAM usaha menyemai kesedaran berkaitan kelestarian alam sekitar dan hidupan liar, Jelajah Sawit Hijau Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) terus memperkasakan inisiatif sebagai platform pendidikan untuk masyarakat.

Di sebalik kerancakan pameran dan aktiviti dilaksanakan, inisiatif tersebut turut mengangkat mesej besar agar semua pihak memahami dan memainkan peranan masing-masing.

Selepas Jelajah Sawit Hijau MPOGCF Siri 3 melabuhkan tirai di Johor Bahru, Johor, acara kemuncak bakal berlangsung di pusat beli-belah Melawati Mall, Kuala Lumpur pada 22 November 2025.

BACA LAGI: Jelajah Sawit Hijau Siri 3 meriah, aspek kebajikan, kesejahteraan hidupan liar terus diperhebat

BACA LAGI: 'Lebih kerap, lebih luas', pengunjung Jelajah Sawit Hijau MPOGCF mahu program didik-hibur diteruskan setiap tahun

Pelbagai aktiviti menarik disediakan di booth MPOGCF pada Jelajah Sawit Hijau di Paradigm Mall, Johor.

Siri terakhir acara berkenaan sekali gus menyaksikan satu lagi inisiatif baharu akan diperkenalkan buat masyarakat tempatan dalam misi pemuliharaan hidupan liar di negara ini.

Menurut Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud, pada acara kemuncak itu pihaknya bakal melancarkan buku Tapak Hidupan Liar yang membantu memberi panduan kepada pemain industri termasuk pekebun kecil.

"Buku ini akan diberikan secara percuma kepada penggiat industri dan pekebun kecil sebagai rujukan untuk mengenal pasti jejak haiwan liar seperti gajah, harimau, pelanduk dan monyet yang terdapat di sekitar kebun dan ladang mereka," katanya ketika ditemui Majoriti pada Jelajah Sawit Hijau MPOGCF Siri 3 di Paradigm Mall, Johor Bahru, Sabtu.

Turut hadir Pengurus Komunikasi Strategik MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin).

Bicara lanjut Hairulazim memberitahu, buku panduan tersebut juga membantu pekerja ladang dan pengusaha ladang sawit memahami tindakan perlu diambil apabila menyedari kehadiran hidupan liar di kawasan operasi masing-masing.

Selaras dengan usaha itu, beliau tidak menolak berkemungkinan program Jelajah Sawit Hijau MPOGCF akan diteruskan dan dikembangkan di seluruh Malaysia termasuk di Borneo.

Hairulazim (tengah) memberi informasi lanjut tentang peranan MPOGCF menerusi sesi podcast bersama Suria FM.

"Tahun ini fokus acara di Semenanjung dan mungkin diperluaskan lagi Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Sabah dan Sarawak.

"Kami sebenarnya mencuba dulu bagi lihat bagaimana respons orang ramai terhadap industri dan kerja-kerja pemuliharaan dalam industri sawit.

"Kita nak seluruh rakyat Malaysia faham apa yang sedang kami dan industri sawit laksanakan berkaitan sosial pemuliharaan hidupan liar dan alam sekitar," jelasnya.

Memilih tagline, Konservasi Kunci Sawit Mampan, Jelajah Sawit Hijau dibawakan dengan kerjasama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group.

Program dicetuskan MPOGCF itu turut menampilkan rakan strategik Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (MEME), Earthworm Foundation (EF), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Johor dan Johor Plantations Group Berhad (JPG).

Hairulazim (tiga dari kiri) dan warga MPOGCF sentiasa komited memupuk kesedaran dalam menjaga kelestarian alam dan hidupan liar kepada masyarakat setempat.

Matlamat utama Jelajah Sawit Hijau MPOGCF adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan industri sawit negara.

Pada masa sama, bertujuan menepis persepsi negatif terhadap minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Melalui kempen kesedaran awam seumpama ini pelbagai aktiviti dijalankan bagi menyalurkan maklumat, sekali gus menarik minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap kehidupan alam semula jadi di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram