
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas terhadap insiden pergaduhan yang melibatkan beberapa pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (SMK TTDI), Kuala Lumpur, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau telah turun padang pagi Rabu ke sekolah berkenaan bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian serta tindakan susulan yang telah diambil oleh pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Hasil siasatan mendapati empat pelajar dikenakan tindakan gantung sekolah, manakala 14 lagi diberi surat amaran, selaras dengan prosedur disiplin yang ditetapkan oleh KPM,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Rabu.
BACA LAGI: Kes buli 2023: Ibu bapa diminta segera lapor JPN Sabah
BACA LAGI: Buang sekolah takkan selesaikan kes buli — PIBGN
Beliau menjelaskan bahawa murid yang digantung akan mengikuti program khidmat masyarakat di bawah kelolaan PPD sebagai salah satu bentuk intervensi pemulihan.
Selain itu, sesi kaunseling turut dilaksanakan bagi membimbing murid-murid terbabit agar dapat mengubah tingkah laku mereka melalui penerapan nilai-nilai murni.
"Saya ingin tegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan institusi pendidikan.
"Langkah-langkah pencegahan mesti dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem sekolah kekal selamat dan sejahtera," tegas Fadhlina.
Sebelum ini, tular satu klip video yang memaparkan dua pelajar lelaki bergaduh di kawasan sekolah hingga mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai isu disiplin dalam kalangan pelajar.
Lebih membimbangkan, video berdurasi kurang seminit itu turut menunjukkan beberapa pelajar lain yang bersorak dan mengapi-apikan pergaduhan, tanpa cuba meleraikan insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram