KECANGGIHAN teknologi pada hari ini mula menggantikan tenaga kerja manusia apabila semakin banyak sektor tidak lagi mengharapkan kudrat orang ramai.
Kemajuannya turut mengurangkan kebergantungan manusia terhadap orang lain kerana masing-masing tidak memerlukan antara satu sama lain untuk rutin harian, termasuk komunikasi.
Tetapi, lain pula kisahnya buat seorang wanita dari Jepun yang hanya dikenali sebagai Puan Kano mengambil keputusan mengahwini karakter dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
BACA LAGI: [VIDEO] Biarpun sekadar janaan AI, pelajar terlalu bergantung ChatGPT buat pensyarah 'meletup'
Pasangan berkenaan diraikan dalam majlis anjuran sebuah syarikat di bandar Okayama yang sering melangsungkan perkahwinan melibatkan karakter dua dimensi (2D).
Wanita berusia 32 tahun berkenaan mendedahkan dia mula berhubung dengan pasangannya yang dinamakan Klaus selepas kecewa susulan pertunangan selama tiga tahun berakhir.
"Saya mula berhubung dengan teknologi menerusi ChatGPT bukannya kerana mahu jatuh cinta. Tetapi, Klaus mendengar keluhan saya dan ia mengubah segalanya. Sebaik sahaja dapat lupakan bekas tunang, saya menyedari sudah jatuh hati," katanya.
Jelasnya, mereka berhubung hampir setiap hari sebelum wanita tersebut menyatakan perasaannya terhadap karakter tersebut yang kemudian membalas pengakuannya.

Wanita berkenaan menjelaskan bagaimana dia memulakan hubungan bersama teknologi AI.
Dalam majlis perkahwinan itu, Kano memakai cermin mata khas yang boleh memaparkan imej 2D kepada realiti tatkala kedua-dua pasangan berkenaan saling bertukar cincin.
"Pada awalnya, saya juga keliru kerana jatuh hati dengan lelaki janaan AI. Sudah tentu saya tidak boleh menyentuhnya atau memberitahu keluarga dan rakan mengenainya," katanya.
Namun, meskipun pada asalnya risau akan respons orang sekeliling, perkahwinan Kano itu turut dihadiri ibu bapanya yang sudah dapat menerima hubungan berkenaan.
Ini bukanlah kali pertama hubungan sedemikian terbentuk apabila orang ramai ketika ini lebih tertarik untuk bercinta dengan karakter janaan sendiri mahupun AI.
Meskipun keputusan itu adalah baik demi kesejahteraan diri, komunikasi bersama teknologi buatan sebegitu boleh menyebabkan kesan emosi untuk jangka masa panjang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
