[VIDEO] 'Perlu ke nak tunjuk baran?', diherdik penumpang bas, tenangnya pak cik RELA sifat cukup 'mahal'


  • Tular
  • Selasa, 04 Nov 2025

Tangkap layar seorang penumpang bas memarahi anggota RELA di sebuah terminal bas baru-baru ini.

TINDAKAN seorang penumpang lelaki menjerit dan memarahi petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sebuah terminal bas baru-baru ini mengundang kecaman hebat warga maya.

Lebih mengejutkan, mangsa yang diherdik itu merupakan seorang anggota RELA yang sudah berusia dan hanya menjalankan tugasnya dengan penuh sabar tanpa membalas sebarang kata.

Menerusi rakaman video dimuat naik oleh pengguna Facebook, Mohd Zulkifli, pada Selasa, suasana terminal berkenaan dilihat kecoh apabila lelaki terbabit meninggikan suara sambil menuding jari ke arah anggota RELA tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Biarpun sekadar janaan AI, pelajar terlalu bergantung ChatGPT buat pensyarah 'meletup'

BACA LAGI: [VIDEO] 'Budak sekolah mereka kena ajar adab, hormat', Safee Sali sokong Jojo 'sound' penganjur WWC tak dapat kelulusan KBS

"Relaks la bang, perlu ke nak tunjuk baran," tulis Mohd Zulkifli pada kapsyen hantaran itu tanpa memaklumkan lokasi serta tarikh sebenar kejadian berlaku.

Video berdurasi hampir satu minit itu turut menunjukkan penumpang berkenaan cuba ditenangkan oleh seorang wanita dipercayai pasangannya selepas keadaan menjadi semakin tegang.

Namun, anggota RELA berkenaan tetap kelihatan tenang meskipun diherdik beberapa kali dan raut wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi marah.

Walaupun punca sebenar pertengkaran itu belum dapat dipastikan, tindakan sabar petugas tersebut mendapat pujian ramai pengguna media sosial yang menyifatkan dia sebagai contoh ketenangan dan profesionalisme dalam menjalankan tugas.

Seorang pengguna, Qhaebun Dzahirah Zaid berasa simpati terhadap anggota RELA itu yang kelihatan tidak melawan walaupun dimarahi berulang kali.

Katanya, walaupun tidak mengetahui hujung pangkal kejadian, tindakan penumpang itu tetap dianggap biadab terhadap orang tua.

Bagi Md Mizan, tindakan lelaki terbabit disifatkan sebagai tidak menghormati warga emas dan tidak beradab, seolah-olah melawan ayah sendiri.

"Orang tua dilawan bagai lawan ayah sendiri. B***h, tak hormat langsung. Kalau pak cik tu 'buka komando' baru kau tahu," katanya.

Sementara itu, pengguna lain, Que’s Abi, menyifatkan sikap penumpang tersebut memalukan kerana meninggikan suara kepada individu lebih tua yang tidak membalas herdikan.

"Orang tua, lepas tu tak melawan... lagi acah-acah naik hantu. Silap orang kau dapat, buat malu diri sendiri saja," katanya.

Manakala Zack Jacob pula meluahkan rasa kesal apabila mendakwa orang ramai di lokasi kejadian hanya melihat tanpa cuba meleraikan pertengkaran tersebut.

"Yang lain tengok saja, tak ada pun nak tolong atau leraikan. Anggota RELA yang lain pun boleh buat-buat tak nampak," katanya.

Video berkenaan kini tular di media sosial dengan ribuan tontonan dan terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen yang berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram