
KECERDASAN buatan kini bukan sekadar alat teknologi, malah sukar untuk menidakkan ia sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup moden.
Sejak pelancarannya oleh OpenAI, ChatGPT terus berkembang daripada sekadar menjawab soalan harian kepada 'pembantu peribadi' lebih pintar dan intuitif.
Kini dengan peningkatan ciri dan kefungsian baharu, ChatGPT mampu membantu pengguna dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk resipi, cadangan penampilan hinggalah destinasi liburan mengikut bajet yang ada.
Pun begitu, penggunaan ChatGPT tidak terhad setakat itu sahaja kerana lewat kebelakangan ini ramai individu mendapatkan khidmat nasihat daripada platform berkenaan untuk idea dekorasi kediaman.
Sama ada ingin menyusun semula ruang tamu atau menghias meja sempena musim perayaan, ChatGPT boleh menjadi 'pereka dalaman maya'.
Dengan hanya memuat naik gambar ruang tamu, meja makan, dapur ataupun kamar tidur yang ingin diubah, pengguna boleh meminta cadangan mengikut konsep idaman.
ChatGPT mampu mencadangkan warna cat yang sesuai, padanan perabot, gaya pencahayaan dan aksesori bagi menyerlahkan suasana untuk menjadikan kediaman seindah inspirasi Pinterest.
Kurang 2 minit platform AI akan memaparkan foto hiasan dalam mengikut kriteria yang anda senaraikan dan hasilnya cukup mengagumkan! — Gambar hiasan/Freepik
Sekurang-kurangnya dengan adanya ChatGPT pengguna berpeluang menterjemahkan idea diingini dari segi tema, perabot, susun atur dan seleksi cat sebelum ditunjukkan kepada pihak kontraktor. Tambahan pula, bukan semua individu mempunyai bajet untuk mengupah pereka dalaman profesional.
Jika layari media sosial berkaitan topik dekorasi rumah, anda dapat melihat bermacam-macam 'permintaan' warga maya terhadap ChatGPT antaranya ubah suai ruang tamu minimalis kepada konsep pop art, pemilihan cat ideal untuk rumah gaya Japandi dan reka bentuk kabinet yang sesuai bagi dapur saiz terhad.
Dalam tempoh kurang 2 minit ChatGPT akan memaparkan foto mengikut kriteria yang anda senaraikan dan hampir 90 peratus hasilnya cukup mengagumkan!
Kesimpulannya, dari ruang tamu hingga ke gaya peribadi, ChatGPT kini bukan sekadar chatbot, sebaliknya pembantu serba boleh yang mampu menjadikan kehidupan lebih tersusun, kreatif dan bergaya.
Dengan kemampuan memahami konteks dan memberikan cadangan bernas, ChatGPT membuka dimensi baharu dalam cara manusia berinteraksi dengan teknologi sekali gus menjadikannya sahabat pintar dalam setiap aspek kehidupan moden. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram