[VIDEO] Biarpun sekadar janaan AI, pelajar terlalu bergantung ChatGPT buat pensyarah 'meletup'


  • Tular
  • Selasa, 04 Nov 2025

Tangkap layar seorang pensyarah memarahi pelajarnya kerana menggunakan AI ketika membuat tugasan.

KEMUNCAK kemajuan teknologi masa kini menyaksikan kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT menjadi alat popular dalam kalangan pelajar dan pekerja bagi memudahkan urusan seharian.

Daripada menghasilkan tugasan universiti, menulis laporan kerja, menterjemah bahasa hingga mencipta kandungan media sosial, semuanya kini boleh dilakukan hanya dengan beberapa arahan mudah kepada AI.

Kelebihan tersebut menjadikan ChatGPT dan aplikasi seumpamanya semakin diterima luas sebagai pembantu digital moden, seiring dengan arus teknologi negara maju.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Budak sekolah mereka kena ajar adab, hormat', Safee Sali sokong Jojo 'sound' penganjur WWC tak dapat kelulusan KBS

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tegur banyak kali, aduan polis pun dah buat', geng motor buat bising sampai subuh bikin penduduk Damansara Damai stres

Namun, kemudahan luar biasa itu juga mencetuskan kebimbangan terkini apabila ramai dilihat terlalu bergantung kepada AI sehingga menjejaskan kemahiran berfikir dan menulis sendiri.

Terbaharu, tular di laman TikTok apabila pengguna akaun @attap.kia memuat naik satu video memaparkan seorang pensyarah lelaki yang ‘meletup’ marah selepas mendapati semua pelajarnya menggunakan ChatGPT untuk menyiapkan tugasan kuliah di sebuah universiti swasta.

Dalam rakaman berdurasi beberapa saat itu, wajah pensyarah berkenaan jelas menunjukkan rasa kecewa ketika menegur pelajar-pelajarnya di dalam bilik kuliah.

"Kamu ingat saya tidak tahu kamu semua guna ChatGPT? Semua ayat dan bahasa sama digunakan. Apa guna kamu hadir ke kelas kalau biar AI yang berfikir untuk kamu?

"Lain kali, guna AI juga untuk ambil kehadiran kamu," katanya dengan nada sinis.

Namun, tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.

Video berkenaan meraih ribuan tontonan dan pantas menjadi topik perdebatan dalam kalangan warganet, yang rata-ratanya bersetuju dengan teguran pensyarah tersebut.

Meninjau ke ruangan komen, pengguna @ChinBoo berkata video itu mungkin dihasilkan menggunakan teknologi AI, namun mesejnya tetap jelas dan menggambarkan realiti pendidikan masa kini.

"Ini realiti pelajar zaman sekarang, terlalu bergantung kepada AI.

"Walaupun video ini nampak macam janaan AI, tak mustahil memang ada pensyarah yang akan marah dan kecewa. Ini realiti sebenar, tak kisah janaan AI atau tidak kerana mesej yang disampaikan cukup jelas," tulisnya.

Seorang lagi warga maya, @mell.ismail, turut berseloroh namun bersetuju dengan pandangan pensyarah berkenaan.

"Mestilah kecewa. Orang dulu belajar susah-susah baru jadi doktor, peguam. Sekarang guna ChatGPT pun boleh jadi doktor, contoh saja," katanya.

Sementara itu, @zetyzati berkongsi pengalamannya ketika zaman universiti dahulu.

"Dulu lecturer (pensyarah) marah kalau guna Google Translate bulat-bulat. Kita kena tukar ayat sendiri supaya nampak natural. Tapi ChatGPT ini ayat semua dah elok tersusun, buatkan otak makin malas nak fikir," ujarnya.

Seorang lagi pengguna, @maryy, pula menasihatkan agar pelajar bijak menggunakan teknologi tanpa meniru bulat-bulat hasil AI.

"Guna AI tak salah, tapi jangan copy-paste. Zaman saya dulu pun guna Google, tapi lecturer dah pesan supaya paraphrase sebab semua boleh jumpa artikel sama dan nanti Turnitin akan flag," katanya.

Fenomena penggunaan ChatGPT secara meluas dalam kalangan pelajar kini semakin menjadi bualan masyarakat. Ramai berpendapat teknologi itu wajar digunakan sebagai alat bantu pembelajaran, bukan sebagai ‘otak kedua’ yang menghapuskan daya fikir manusia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram