
McDONALD'S Malaysia baru-baru ini mengumumkan pengeluaran zakat korporat sebanyak RM2 juta pada tahun ini.
Mengambil pendekatan berbeza, pembayaran zakat akan dibuat dengan menjelajah ke 14 negeri di Malaysia bagi menyerahkan zakat kepada pusat zakat negeri masing-masing, di restoran McDonald’s terpilih.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, rangkaian restoran khidmat segera itu telah mengeluarkan zakat sebanyak RM14 juta, selepas McDonald’s Malaysia menjadi syarikat 100 peratus milik orang Islam sejak 2017.
BACA LAGI: McDonalds gamatkan Bukit Bintang, lancar Fan Fries Meal XXL hanya RM10
BACA LAGI: 200 cawangan McD dalam tempoh lima tahun
“McDonald’s Malaysia amat bersyukur dapat melunaskan pembayaran zakat yang menjadi sebahagian daripada Rukun Islam.
"Istimewanya pada tahun ini, syarikat kami bukan sahaja membayar zakat sebagai tuntutan fardu, tetapi juga berkongsi kesyukuran ini bersama masyarakat untuk membantu golongan memerlukan dan menyantuni pelanggan yang sentiasa memberi sokongan selama ini,” katanya ketika majlis penyerahan zakat kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya Presint 2, Putrajaya.
McDonald's Malaysia menyumbangkan 100 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf.
Menerusi majlis tersebut, McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat berjumlah RM300,000 kepada PPZ-MAIWP.
Penyerahan itu disempurnakan Azmir kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman sambil disaksikan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Mengulas lanjut, Azmir memaklumkan, Putrajaya menjadi lokasi keempat majlis penyerahan zakat McDonald's Malaysia selepas Perak, Terengganu dan Selangor.
Melalui inisiatif tersebut, jelasnya, syarikat bukan sahaja menunaikan zakat, malah turut menghulurkan Kotak Rezeki kepada penduduk sekitar yang memerlukan.
"Lebih istimewa, seramai 1,000 komuniti setempat diraikan dengan hidangan percuma di setiap restoran terlibat.
“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan. Kebanyakan yang hadir adalah golongan benar-benar memerlukan dan program ini memberi peluang kepada kami untuk mendekati masyarakat,” ujarnya.
Program penyerahan zakat memberi peluang untuk McDonald's Malaysia mendekati masyarakat.
Tambahnya, program zakat itu seiring usaha berterusan McDonald’s Malaysia untuk menjalankan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan melibatkan lebih 370 restorannya di seluruh negara menerusi program Komuniti@McDonald’s.
Menurut beliau, antara inisiatif lain termasuk majlis berbuka puasa, moreh ke masjid dan surau, ziarah rumah orang tua di pusat jagaan pada musim perayaan, sambutan hari guru, sambutan hari jadi bersama anak yatim dan pelbagai lagi aktiviti kebajikan.
"Alhamdulillah kami akan terus menyumbang kepada masyarakat. Itulah nilai teras utama McDonald’s Malaysia, sentiasa berkongsi rezeki di seluruh negara," jelasnya.
Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyumbangkan 100 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf, sebagai bantuan terus bagi meringankan beban mereka.
Bagi tujuan itu juga, McDonald’s Malaysia bersama PPZ-MAIWP menjalankan program ziarah rumah ke rumah untuk menyantuni dan menyumbangkan Kotak Rezeki kepada yang memerlukan di sekitar Putrajaya.
Penduduk tempatan diraikan dengan hidangan percuma di setiap restoran terlibat. — McDonald’s Malaysia
Sementara itu, Abdul Hakim berkata, pihak PPZ-MAIWP menzahirkan penghargaan kepada McDonald’s Malaysia kerana sentiasa menjadi syarikat korporat yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan zakat perniagaan.
Menurutnya, selain ia merupakan kewajipan bagi yang berkemampuan, sumbangan zakat itu juga membantu mereka mendekati lebih ramai asnaf memerlukan.
"Kami berharap, lebih banyak usaha bersama McDonald’s Malaysia dapat dilaksanakan untuk membantu asnaf secara berpanjangan pada masa akan datang,” katanya.
Untuk makluman, pada 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP.
Sijil itu mengiktiraf perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di Wilayah Persekutuan.
Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat tersebut melengkapi Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram