MESKI dalam tempoh berpantang, pelakon dan pengarah, Yana Samsudin nekad menghadiri majlis konvokesyen usai menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan, Pahang.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi UMPSA, Yana, 39, berkata, semangat untuk menuntut ilmu tidak seharusnya terhenti walau pada usia berapa sekali pun.
“Kalau rasa betul nak belajar, kalau rasa dah terlewat, SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tak okey ke apa, buat balik.
"Tak ada istilah terlambat kalau kita betul-betul nak ubah hidup,” katanya.
Pemilik nama sebenar Norzalina Samsudin itu berkongsi, kehadirannya ke majlis konvokesyen itu juga satu rezeki kerana pada tarikh sebenar konvokesyen, beliau sepatutnya masih dalam tempoh berpantang.
“Sebenarnya betul, saya masuk pantang 30 hari ini tapi semangat untuk datang konvo memang kuat. Ikutkan due date saya bersalin memang sama dengan hari konvo.
"Namun sebab saya lahirkan anak awal lapan bulan enam hari, Alhamdulillah saya dapat datang hari ni. Ini semua rezeki ALLAH,” ujarnya.
Bintang filem Adnan Sempit itu turut memberitahu, perjalanan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Korporat itu bukan mudah, memandangkan beliau melalui dua kali kelahiran sepanjang tempoh dua tahun setengah pengajian.
“(Dalam tempoh) nak habiskan master ini, saya dah lahirkan dua anak.
"Memang susah, tak cukup tidur tapi bila fikir anak-anak, saya nak mereka nampak usaha Mommy dia,” katanya.
Menurut Yana, dorongan utama untuk terus kuat menamatkan pengajian datang daripada suami, keluarga dan anak-anaknya.
Tambah ibu kepada empat cahaya mata itu, keinginannya untuk menjadi contoh kepada anak-anak menjadi pendorong utama perjalanan akademiknya.
“Saya nak anak-anak tengok walaupun umur dah meningkat, dah ada keluarga, kita masih boleh belajar. Itu yang jadi penguat saya,” kongsinya lagi.
Disebabkan tuntutan kerjaya seni dan perniagaan, Yana mengakui kurang tidur dan perlu membahagikan masa antara kerja, anak dan pelajaran.
“Walaupun kita berniaga, bekerja siang malam, nak habiskan (pengajian) memang susah. Jadi, siapa yang berjaya habiskan belajar walau dalam keadaan sibuk, saya sangat respect,” ungkapnya.
Yana turut meluahkan penghargaan buat suaminya, Fadzil Zahari dan ibunya yang banyak membantu menjaga anak dan memberi semangat sepanjang tempoh pengajian.
“Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada semua pensyarah di UMPAC, semuanya sangat membantu dan beri semangat,” katanya.
Pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 itu juga berharap kisahnya dapat memberi inspirasi kepada ramai pihak, khususnya mereka yang pernah menganggap sudah terlewat untuk menyambung pelajaran.
“Belajar dulu, kerja dulu pun tak apa. Banyak peluang di luar sana. Jangan takut nak mula semula walaupun lambat. Yang penting, ada semangat dan orang sekeliling yang menyokong,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
