Hantaran eksklusif berjiwa seni, gubahan inspirasi kisah cinta, impian pasangan raja sehari


  • Hias
  • Ahad, 13 Jul 2025

Mimie Zailani menghidupkan kisah cinta pasangan melalui sentuhan eksklusif hantaran Little Satine.

DALAM dunia perkahwinan yang penuh dengan simbolik dan makna, hantaran bukan lagi sekadar gubahan barang hantaran semata-mata.

Ia kini menjadi medium ekspresi, lambang cinta dan identiti pasangan mempelai.

Di sinilah munculnya Little Satine, jenama hantaran yang semakin mendapat tempat di hati pasangan pengantin moden, hasil sentuhan peribadi pengasasnya, Mimie Zailani.

BACA LAGI: 'Jual pada terdesak', Zeeda Aziz bidas taktik eHati, seru wanita lebih waspada

BACA LAGI: Rahsia minyak aromaterapi, Vanessa kongsi cara atasi tekanan, tidur lebih lena

Dalam temu bual bersama Mimie, beliau berkongsi perjalanan membina jenama Little Satine dari minat kecil pada zaman sekolah hingga menjadi perniagaan yang menjangkau seluruh Semenanjung Malaysia.

Mimie berkongsi perjalanan membina jenama Little Satine dari minat kecil di zaman sekolah hingga menjadi perniagaan yang menjangkau seluruh Semenanjung Malaysia.

Dari sekolah ke studio impian

Segalanya bermula daripada minat terhadap seni dekorasi sejak di bangku sekolah.

Mimie gemar membantu guru dalam menghias kelas dan menyertai aktiviti dekorasi.

Minat itu terus berkembang apabila beliau mula membantu ahli keluarga membuat gubahan hantaran secara suka-suka.

"Perkahwinan saya sendiri, saya buat sendiri hantarannya. Dari situ saya nampak potensi. Bila dah ramai mula minta tempahan, saya ambil peluang teruskan secara serius," kata Mimie kepada Majoriti.

Tanpa disangka, permintaan terhadap sentuhan eksklusif Little Satine semakin meningkat dan beliau akhirnya memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan ini.

Momen perkahwinan adalah momen emosi

Bagi Mimie, setiap hantaran membawa nilai emosi yang mendalam.

Beliau melihat gubahan hantaran bukan sekadar hiasan, tetapi sebagai simbol momen istimewa yang perlu dikenang.

"Saya percaya, setiap perkahwinan ada kisah yang indah. Saya suka jadi sebahagian daripada kisah itu melalui sentuhan kreatif saya," katanya.

Bagi Mimie, setiap hantaran membawa nilai emosi yang mendalam.

Reka bentuk bermula dari cinta

'Tiada dua hantaran yang serupa', itulah prinsip dipegang Mimie.

Setiap rekaan bermula dengan sesi soal jawab bersama pasangan bagi memahami tema, warna kegemaran dan cerita peribadi mereka.

"Saya tanya dulu warna tema, gaya yang mereka suka. Dari situ, barulah tercetus inspirasi dan rekaan terakhir untuk hantaran tersebut."

Malah, barangan sentimental seperti keris pusaka, cincin warisan nenek moyang dan baju pengantin ibu bapa pernah menjadi sebahagian daripada gubahan yang beliau hasilkan.

Gabungan moden dan tradisional

Dalam menghasilkan setiap hantaran, Mimie menggabungkan elemen klasik dan moden.

Misalnya, penggunaan dulang kayu 'solid wood' menggantikan plastik bagi memberikan sentuhan elegan dan tahan lama.

"Saya pilih bunga yang berkualiti dan jarang dijumpai, supaya hasilnya nampak lebih eksklusif dan segar."

Dalam menghasilkan setiap hantaran, Mimie menggabungkan elemen klasik dan moden.

Cabaran menjaga identiti Little Satine

Bagi Mimie, cabaran terbesar ialah memastikan setiap hasil kerja mengekalkan 'signature Little Satine' walaupun permintaan pelanggan semakin meningkat.

"Saya tak nak hasil kerja saya jadi seperti salinan. Sebab itu saya banyak berinteraksi dengan pelanggan. Setiap reka bentuk harus ada jiwa dan keunikan tersendiri."

Momen manis bersama pelanggan

Antara detik paling menggembirakan buat Mimie adalah apabila pelanggan benar-benar menghargai sentuhan peribadi beliau.

"Bila mereka kata hantaran saya berbeza, lain daripada yang lain dan menggambarkan kisah cinta mereka, itu buat saya sangat puas hati."

Dari kecil-kecilan ke seluruh Semenanjung

Hampir tujuh tahun beroperasi, Little Satine kini menerima tempahan dari pelbagai negeri.

Walaupun logistik masih menjadi cabaran untuk ke Sabah dan Sarawak, sambutan terhadap rekaan Mimie terus berkembang.

"Bila ada 'hot date' macam 25.10.2025, saya boleh terima sampai 100-200 tempahan sebulan. Alhamdulillah, rezeki."

Impian besar untuk masa depan

Mimie menyimpan impian untuk membuka studio khas Little Satine dan menganjurkan kelas-kelas hantaran untuk melatih lebih ramai bakat tempatan.

"Saya nak ada pasukan sendiri dan boleh anjurkan kelas ke negeri-negeri. Supaya lebih ramai boleh hasilkan hantaran dengan nilai seni tersendiri.”

Little Satine bukan sekadar jenama hantaran, ia adalah karya seni yang menyimpan makna cinta, warisan dan emosi.

Di bawah sentuhan penuh kasih Mimie Zailani, setiap hantaran adalah ciptaan eksklusif yang menyatukan kisah, personaliti dan impian dua hati menjadi satu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram