Dulu hobi lukis bendera dunia, kini anak 9 tahun pandai menipu akibat ketagihan Roblox


  • Bonda
  • Rabu, 05 Nov 2025

Seorang kanak-kanak sanggup berjaga hingga lewat malam demi permainan video Roblox. — Gambar hiasan/Janaan AI

KETAGIHAN permainan atas talian Roblox bukan lagi isu kecil ekoran lambakan kes keganasan remaja didakwa berpunca daripada aplikasi tersebut.

Terbaharu, seorang ibu berkongsi perubahan drastik berlaku kepada anak lelakinya yang berusia sembilan tahun sehingga sanggup menipu sakit semata-mata mahu mengelak ke sekolah.

Menurut Zara Rita, anaknya yang sebelum ini gemar melukis bendera dunia dan mempelajari sejarah, berubah sepenuhnya selepas mula ketagih permainan tersebut.

BACA LAGI: Pempengaruh Tara Choi kahwin jejaka Malaysia, perkahwinan berlangsung penuh tradisi di Korea Selatan

BACA LAGI: 'Ini tentang hak wanita', Miss Universe Mexico diarah keluar, peserta lain tunjuk solidariti

Katanya, anaknya kini berulang kali memberikan alasan pening kepala atau sakit perut pada waktu pagi supaya dibenarkan tinggal di rumah untuk bermain Roblox.

Lebih merisaukan, kanak-kanak itu kini bangun seawal pukul 5 hingga 6 pagi semata-mata mahu bermain aplikasi tersebut sebelum waktu persekolahan.

 

 

Perubahan tingkah laku itu jelas ketara apabila anaknya tidak lagi mahu keluar rumah atau melakukan aktiviti yang sebelum ini menjadi kegemarannya.

"Hari-hari kata takda kerja skolah padahal bila periksa bag sekolah dia, banyak yang dia tak buat, dengan lukisan ni saya ugut untuk buat laporan polis dan masukkan dia ke sekolah asrama.

"Dulu sebelum kenal game ni hobi dia melukis bendera sedunia, hafal dan belajar sejarah," ujarnya di laman Threads.

Kerajaan teliti lesenkan 10 permainan tidak sesuai kanak-kanak

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan sebelum ini memaklumkan sedang meneliti cadangan untuk melaksanakan pelesenan ke atas sekurang-kurangnya 10 permainan video yang dianggap tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Selain Roblox, permainan lain termasuk Grand Theft Auto (GTA), Call of Duty, PUBG, Free Fire, Fortnite, Dead by Daylight, Among Us, Horrorfield dan The Outlast Trials.

Langkah itu dipertimbangkan susulan peningkatan ketara aduan ibu bapa mengenai isu ketagihan, interaksi tidak selamat dalam talian serta risiko pendedahan kepada unsur pornografi dan keganasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram