TREND majlis graduasi sekolah yang kini banyak diadakan di hotel-hotel mewah mula mencetuskan perdebatan dalam kalangan ibu bapa.
Ada menganggap ia sebagai kenangan indah buat anak, namun tidak kurang juga yang melihat ia sebagai beban kewangan khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.
Perkara itu kian tular di media sosial ekoran keluhan ibu bapa yang mempersoalkan bayaran mencecah RM250 bagi menghadiri majlis konvokesyen di hotel.
BACA LAGI: Bayi lahir czer risiko alahan, asma, imun badan rendah banding kelahiran normal — Pakar
BACA LAGI: SPM 2025 bermula, Asyraf Wajdi titip doa, ibu bapa perlu yakin kebolehan anak
Seorang pengguna media sosial, Nurul Farhana Rosly meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penganjuran majlis sedemikian yang dianggap kurang cakna terhadap kemampuan ibu bapa.
"Kenapa pihak sekolah buat majlis murid Tahun Enam di hotel dan minta RM250? Kesian anak-anak yang mak ayah tak mampu sediakan duit sebanyak itu, mereka tak dapat nak join event tu dengan kawan-kawan," katanya di laman Threads.
Menurutnya, jumlah itu mungkin kecil bagi sesetengah pihak, tetapi besar buat keluarga yang berpendapatan rendah.
Berkorban demi anak
Namun, tidak semua bersetuju dengan pandangan tersebut.
Sebahagian ibu bapa menganggap majlis di hotel bukanlah satu paksaan, sebaliknya peluang untuk memberi pengalaman berharga buat anak-anak sebelum melangkah ke sekolah menengah.
"Tiada paksaan, tapi saya sanggup ikat perut untuk anak, saya nak dia rasa pengalaman yang saya tak dapat dulu," ujar Ija Syariza.
Seorang lagi pengguna, Shaqillah Yusof menjelaskan bahawa ibu bapa boleh merancang awal jika ingin anak mereka turut serta.
"Saya pun bukan orang senang, tapi saya simpan dari awal tahun, bila cikgu minta pertengahan tahun, saya dah boleh bayar sikit-sikit," katanya sambil menambah bahawa jika benar-benar tidak mampu, ibu bapa boleh jelaskan kepada anak dengan baik.
Hadir mesyuarat PIBG
Dalam pada itu, segelintir pihak menganggap isu sebenar bukan pada majlis itu sendiri, tetapi berkait rapat dengan penglibatan ibu bapa dalam perbincangan dengan pihak sekolah.
"Biasanya keputusan dibuat dalam mesyuarat PIBG, kalau tak setuju datanglah masa mesyuarat untuk bersuara, jangan baru nak merungut selepas keputusan dibuat," tegas Amir Syafiq.
Pendapat itu disokong oleh beberapa ibu bapa lain yang menjelaskan bahawa kehadiran ke majlis penghargaan tersebut bukanlah wajib dan terpulang kepada kemampuan masing-masing.
"Kalau tak nak pergi pun tak apa, bukan wajib tapi 90 peratus ibu bapa lain nak beri momen terakhir untuk anak-anak mereka," kata Mama Izz.
Pun begitu, ada juga ibu bapa yang berkemampuan tetapi memilih untuk tidak menyokong trend tersebut.
"Saya mampu, tapi saya tak setuju buat di hotel, dulu tak ada pun macam ni, lebih baik sambut di sekolah, lebih kena dengan suasana pembelajaran," kata Suraya Zainal Abidin.
Menurutnya, sambutan berkonsepkan hotel mungkin terlalu berlebihan bagi pelajar sekolah rendah kerana perjalanan akademik mereka masih panjang.
Trend atau tekanan sosial
Fenomena majlis graduasi di hotel bagi pelajar sekolah rendah bukan perkara baharu, namun semakin menjadi norma di kawasan bandar.
Ada melihatnya sebagai bentuk penghargaan dan motivasi kepada pelajar, tetapi sebahagian lain menganggapnya tekanan sosial yang boleh menimbulkan jurang antara murid dari keluarga berbeza latar belakang.
Hakikatnya, niat meraikan kejayaan murid Tahun Enam sememangnya wajar dipuji, namun pendekatan penganjuran harus mengambil kira kemampuan semua pihak.
Kenangan indah anak-anak tidak semestinya bergantung kepada sambutan mewah, tetapi ia lahir daripada perasaan dihargai dan diraikan bersama keluarga serta rakan-rakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
