PEMPENGARUH media sosial Korea Selatan, Tara Choi selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka Malaysia dalam satu majlis perkahwinan penuh tradisi diadakan di Seoul.
Majlis tersebut berlangsung mengikut adat perkahwinan tradisional Korea Selatan yang kaya dengan simbolik dan tata cara turun-temurun, menjadikannya antara perkahwinan silang budaya yang paling mencuri tumpuan tahun ini.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Threads dan Tara Choi meluahkan rasa syukur atas perkahwinan dengan jejaka pilihan hatinya.
BACA LAGI: 'Ini tentang hak wanita', Miss Universe Mexico diarah keluar, peserta lain tunjuk solidariti
Majlis dimulakan dengan ibu kedua-dua pengantin memulakan upacara, satu tradisi yang menandakan restu keluarga serta simbolik penyatuan dua jiwa.
Dalam suasana penuh harmoni, pengantin lelaki kemudiannya menunduk (jeol) kepada bapa pengantin perempuan, sebagai tanda terima kasih dan penghormatan mengikut adat lama Korea yang menekankan nilai keluarga serta sopan santun.
Difahamkan, amalan itu membawa makna kesediaan pengantin lelaki menjaga dan menghormati keluarga isterinya sepanjang perkahwinan.
Kedua-dua mempelai kemudiannya saling bersalam-salaman satu sama lain, sebagai simbol kasih sayang dan komitmen untuk membina kehidupan baharu bersama.
Ucapan Bahasa Malaysia
Suasana bertambah mengharukan apabila bapa Tara Choi menyampaikan ucapan ringkas dalam Bahasa Malaysia sebagai penghargaan kepada tetamu dari keluarga pengantin lelaki.
"Terima kasih mengembara dari Malaysia ke Korea meraikan perkahwinan kami," ujarnya ringkas yang disambut tepukan gemuruh para tetamu.
Acara tradisional
Majlis tersebut turut menghidupkan dua tradisi perkahwinan klasik Korea yang semakin jarang diamalkan:
1. Chicken Tossing (Samgye-tugi)
Seekor ayam dilepaskan sebagai simbol menghalau roh jahat dan membawa kesuburan.
Walaupun tradisi itu hampir pupus di era moden, ia masih dijalankan sebagai penghargaan terhadap warisan budaya lama Korea Selatan.
2. Rice Throwing
Tetamu menabur beras ke arah pasangan bagi melambangkan rezeki yang melimpah, keluarga bahagia dan kehidupan yang makmur.
Tradisi itu popular sejak Dinasti Joseon dan biasanya dilihat dalam majlis perkahwinan kampung pada zaman dahulu.
Majlis berakhir dengan sesi bergambar bersama keluarga dan tetamu di mana semua jemputan diraikan sebagai sebahagian daripada kenangan.
Perkahwinan Tara Choi dan suaminya tidak hanya menggabungkan dua individu, tetapi secara tidak langsung turut menyatukan dua budaya Asia yang kaya dengan tradisi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
