Anak Terengganu cipta sejarah, pelajar OKU rangkul 2 pingat emas GITC 2025 di Korea Selatan


  • Bonda
  • Selasa, 04 Nov 2025

Muhammad Thaqiif dan Nik Nur Izazi Syafiah memahat sejarah negara pada pertandingan GITC for Youth Disabilities 2025 di Korea Selatan.

SEMANGAT luar biasa dua pelajar orang kelainan upaya (OKU) dari Terengganu membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Maarif, Muhammad Thaqiif Muhammad Zharif dan Nik Nur Izazi Syafiah Nik Azmi, mengharumkan nama Malaysia apabila terpilih menyertai pertandingan berprestij Global IT Challenge (GITC) for Youth Disabilities 2025 di Ulsan, Korea Selatan.

Lebih membanggakan apabila Muhammad Thaqiif berjaya menggondol dua pingat emas, masing-masing bagi kategori E-Combination (Individu) dan E-Content (Berkumpulan), sekali gus mengharumkan nama Terengganu serta negara di pentas antarabangsa.

BACA LAGI: 'View' dapur terindah, sambil cuci pinggan, memasak dapat melihat keindahan Dome of Rock, kubah emas ikonik

BACA LAGI: 'Patik junjung kasih Tuanku tajaan IVF' bapa syukur dapat kembar 3, setahun lepas tragedi anak sulung 'pergi' di taska

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pelajar atas pencapaian tersebut.

"Tahniah diucapkan buat dua pelajar istimewa, Muhammad Thaqiif dan Nik Nur Izazi Syafiah.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa semangat, ketabahan dan iltizam yang tinggi mampu mengatasi segala kekurangan fizikal, serta menjadi inspirasi buat seluruh generasi muda," katanya di laman Facebook.

Beliau dalam masa sama turut memaklumkan bahawa kedua-dua pelajar berkenaan telah selamat tiba di bumi Darul Iman pada Isnin selepas menamatkan cabaran di Korea Selatan.

GITC himpun belia OKU

GITC merupakan kejohanan teknologi maklumat antarabangsa yang menghimpunkan remaja berkeperluan khas dari seluruh dunia bagi menguji kemahiran dan kreativiti dalam bidang teknologi maklumat.

Acara itu menampilkan empat kategori utama E-Tools, E-LifeMap, E-Content dan E-Combination yang menilai keupayaan peserta dalam menggunakan teknologi untuk menyelesaikan pelbagai cabaran dunia sebenar.

Kejayaan kedua-dua pelajar istimewa itu bukan sahaja mencerminkan kecekalan diri, tetapi turut menjadi bukti bahawa individu berkeperluan khas mampu bersaing di peringkat antarabangsa jika diberi peluang dan sokongan sewajarnya.

Kejayaan Muhammad Thaqiif dan Nik Nur Izazi menjadi lambang bahawa kecemerlangan tidak mengenal batasan kemampuan fizikal.

Dengan usaha berterusan dan sokongan padu daripada sekolah serta kerajaan negeri, mereka membuktikan generasi muda istimewa juga mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram