DALAM era moden kini, semakin ramai ibu hamil memilih untuk melalui proses kelahiran secara pembedahan caesarean (czer) atas pelbagai faktor kesihatan dan keselamatan.
Walaupun prosedur itu dianggap selamat dan lazim dalam dunia perubatan, pakar kesihatan menegaskan bahawa bayi yang dilahirkan secara pembedahan mungkin mempunyai sistem imun lemah berbanding bayi yang lahir secara normal.
Situasi itu secara tidak langsung mempengaruhi ketahanan antibodi badan mereka terhadap penyakit peringkat awal.
BACA LAGI: SPM 2025 bermula, Asyraf Wajdi titip doa, ibu bapa perlu yakin kebolehan anak
Kurang terdedah bakteria baik
Pakar kesuburan dan kesihatan wanita, Dr. Raihana Ismail menjelaskan bahawa perbezaan utama antara kelahiran normal dan caesarean bergantung kepada proses kelahiran.
"Apabila bayi lahir secara normal, dia secara semula jadi akan mengutip bakteria baik daripada vagina dan usus ibu.
"Bakteria ini sangat penting untuk membina asas sistem imun sejak hari pertama kelahiran," katanya di laman Threads.
Namun, bagi bayi yang dilahirkan secara pembedahan, bakteria pertama yang mereka terdedah bukanlah daripada saluran kelahiran ibu, sebaliknya datang daripada udara hospital dan persekitaran sekeliling.
Keadaan itu mengakibatkan mikrobiom usus bayi menjadi kurang sihat, sekali gus memberi kesan terhadap kekuatan sistem ketahanan tubuhnya.
Keperluan probiotik
Menurut Pakar Kesihatan Ibu dan Anak Dr. Fatin Liyana Asri, kajian menunjukkan bayi yang lahir secara caesarean cenderung kekurangan bakteria baik seperti bifidobacterium dan bacteroides dalam usus mereka.
"Kekurangan bakteria baik ini boleh menyebabkan gut dysbiosis iaitu ketidakseimbangan mikrobiom usus, menjadikan sistem imun anak lambat matang," jelasnya di laman Instagram.
Katanya, pemberian susu ibu, probiotik dan prebiotik boleh membantu memulihkan kembali keseimbangan bakteria baik dalam usus bayi.
Terdapat juga formula khas dirumus dengan symbioplas, gabungan probiotik dan prebiotik yang terbukti menyokong kesihatan usus dan imuniti bayi yang lahir secara pembedahan.
Perbezaan sistem imun
Penemuan sama turut disokong oleh kajian antarabangsa yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications, mendapati bayi kelahiran caesarean menunjukkan tindak balas imun lebih rendah berbanding bayi lahir secara normal.
Menurut Pakar Ekologi Sistem, Paul Wilmes daripada University of Luxembourg, pendedahan awal terhadap bakteria semula jadi memainkan peranan penting dalam membentuk asas sistem imun seseorang sejak awal kelahiran.
"Bayi yang lahir secara pembedahan kurang terdedah kepada bahan bakteria yang merangsang imuniti awal dan ia mungkin menjelaskan mengapa mereka lebih berisiko mengalami penyakit berkaitan imun seperti alahan atau asma," jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pembedahan caesarean hanya perlu dilakukan apabila wujud keperluan perubatan dan masyarakat perlu lebih sedar terhadap kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan bayi.
Walaupun terdapat perbezaan dari segi pendedahan bakteria, bayi kelahiran caesarean masih boleh membina imuniti yang sihat dengan penjagaan dan nutrisi yang betul.
"Susu ibu memainkan peranan besar kerana ia kaya dengan probiotik semula jadi dan prebiotik yang membantu memulihkan bakteria baik dalam usus bayi," katanya.
Walaupun kelahiran secara caesarean membawa sedikit perbezaan biologi berbanding kelahiran normal, kedua-duanya tetap dianggap selamat dan berkesan.
Dengan penjagaan selepas bersalin yang betul, penyusuan berterusan, serta sokongan nutrisi mencukupi, bayi kelahiran czer juga mampu membesar dengan sihat, kuat dan ceria seperti bayi lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
