SPM 2025 bermula, Asyraf Wajdi titip doa, ibu bapa perlu yakin kebolehan anak


  • Bonda
  • Isnin, 03 Nov 2025

Peperiksaan SPM 2025 kini sedang berlangsung di seluruh negara bermula 3 November hingga 23 Disember 2025. — The Star

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 secara rasmi bermula minggu ini, menandakan detik penting buat lebih 400,000 calon di seluruh negara.

Dalam suasana penuh debaran ini, ibu bapa turut memainkan peranan besar dalam memberi semangat serta sokongan emosi kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan paling utama dalam kehidupan persekolahan mereka.

Menyentuh tentang perkara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi doa khusus buat calon SPM agar dipermudahkan segala urusan dan diberikan ketenangan ketika menjawab soalan.

BACA LAGI: 'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat

BACA LAGI: 'Patik junjung kasih Tuanku tajaan IVF' bapa syukur dapat kembar 3, setahun lepas tragedi anak sulung 'pergi' di taska

Doa Rasulullah SAW yang ma'thur. Daripada Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

اللهُم لا سهل إِلا ما جعلتهُ سهلا, وأنت تجعلُ الحزن إذا شِئت سهلا

Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika kamu kehendaki dengan kemudahan.

"Lapangkanlah dada anak-anak kami yang bakal menghadapi peperiksaan SPM yang bermula hari ini. Permudahkanlah mereka menjawab setiap soalan yang diajukan.

"Leraikanlah segala kekusutan dan keresahan dalam diri mereka, sebaliknya kurniakanlah ketenangan kepada mereka," ciapnya di laman sosial.

Beliau dalam masa sama turut mendoakan agar para pemeriksa yang menilai kertas jawapan pelajar kelak diberikan kelembutan hati untuk memberi markah terbaik, selain memohon agar semua calon dikurniakan kejayaan cemerlang dan menjadi insan berguna kepada agama, masyarakat dan negara.

 

Jangan bandingkan anak

Pakar Bimbingan dan Kaunseling Peribadi, Dr. Ruby mengingatkan bahawa sokongan ibu bapa tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya pada cara mereka menghargai usaha dan emosi anak-anak.

"Menjadi ibu bapa bukan sekadar memastikan anak dapat A, tapi bagaimana kita menyokong setiap usaha kecil mereka.

"Ucapkan tahniah, peluk mereka dan raikan setiap pencapaian walau hanya B atau C kerana di sebalik keputusan itu ada usaha, air mata dan semangat yang patut dihargai," katanya di laman Threads.

Beliau turut menggesa agar ibu bapa tidak membandingkan anak sendiri dengan orang lain, termasuk adik-beradik atau sepupu, kerana setiap individu mempunyai kekuatan dan perjalanan hidup yang berbeza.

"Kata-kata kita boleh jadi doa, boleh juga jadi luka, jadi pilihlah untuk menjadikan kata kita sebagai sumber kekuatan yang mereka kenang seumur hidup," tambahnya.

Beliau menasihatkan agar ibu bapa membina suasana emosi yang tenang dan kata-kata semangat sepanjang peperiksaan berlangsung kerana ia mampu menjadi benteng keyakinan buat anak-anak menghadapi cabaran dunia akademik masa kini.

 

 

SPM 2025 bermula November hingga Disember

Menurut jadual rasmi yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), peperiksaan SPM 2025 dijadualkan berlangsung mulai 3 November hingga 23 Disember 2025.

Antara kertas peperiksaan awal yang berlangsung ialah Ujian Bertutur Bahasa Melayu Kertas Tiga dari 3 hingga 6 November, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris Kertas Tiga pada 10 hingga 13 November 2025.

Sementara itu, ujian amali sains seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan akan berlangsung antara 17 hingga 19 November, manakala Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dijadualkan pada 20 November 2025.

Peperiksaan bertulis pula bermula 25 November hingga 23 Disember 2025, melibatkan semua subjek teras dan elektif termasuk Matematik, Sejarah, Sains, Prinsip Akaun dan Pendidikan Islam.

Jadual penuh peperiksaan boleh disemak melalui portal rasmi KPM di www.moe.gov.my.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram