Maldives 'happy place' Marion, keluarga, kenang momen majlis perkahwinan 15 tahun lalu


  • Cinta
  • Isnin, 03 Nov 2025

Marion Caunter meluangkan masa berkualiti menerusi percutian keluarganya di Maldives baru-baru ini.

LEBIH sedekad mendirikan rumah tangga, pasangan personaliti Marion Caunter dan suaminya, SM Nasarudin SM Nasimuddin, kekal menjadikan Maldives sebagai lokasi istimewa yang menyimpan kenangan indah buat keluarga kecil mereka.

Menerusi perkongsian di laman sosial, Marion memuat naik beberapa keping foto percutian keluarga di destinasi pantai eksklusif itu sambil mengenang kembali memori majlis perkahwinan mereka di sana sekitar 15 tahun lalu.

BACA LAGI: 'Sebiji macam jaga bayi', anak mandikan ibu strok bagai jenazah, rela jaga selagi ada kudrat

BACA LAGI: Bella Astillah iringi anak hingga garisan penamat, Ayden dan Ara julang gelaran Iron Kids Langkawi

"Nasa dan saya mengadakan salah satu majlis perkahwinan kami di Maldives dan ia terus menjadi tempat bahagia kami, 15 tahun kemudian bersama anak-anak.

"Masa berkualiti, hanya kami, tiada gangguan, kenangan baharu tercipta, semua yang saya minta ialah sentiasa diberkati," ujarnya.

Untuk rekod, Marion dan SM Nasarudin atau lebih mesra disapa Nasa mendirikan rumah tangga pada Disember 2010 dalam tiga majlis berbeza bermula dengan akad nikah di Kuala Lumpur, diikuti resepsi gilang-gemilang di Mandarin Oriental Hotel, serta sebuah lagi majlis eksklusif di Maldives yang dihadiri keluarga terdekat dan sahabat rapat.

Maldives ketika itu menjadi pilihan pasangan itu kerana suasana pantai yang romantik serta keindahan semula jadi pulau berkenaan, menjadikan majlis tersebut antara perkahwinan selebriti Malaysia paling diingati.

Marion yang ketika itu merupakan personaliti televisyen popular dan SM Nasarudin pewaris kepada empayar perniagaan Naza Group, kini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Leia Rose, Lana Rose dan Liam Nasa.

Percutian di Maldives kali ini turut mencuri perhatian warganet yang memuji keakraban pasangan tersebut serta cara mereka mengekalkan keharmonian rumah tangga meskipun masing-masing sibuk dengan tanggungjawab dan kerjaya.

Selain aktif menguruskan kehidupan berkeluarga, Marion kini memberi tumpuan kepada perniagaan manakala SM Nasarudin terus menerajui beberapa anak syarikat utama Naza Corporation.

Bukan sekadar destinasi percutian, Maldives secara tidak langsung menjadi simbol perjalanan cinta dan kehidupan mereka dari hari pertama bergelar suami isteri hingga kini sebagai ibu dan bapa kepada tiga cahaya mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram