TINDAKAN segelintir pasangan pengantin meletakkan kod imbasan akaun bank (QR) di meja tetamu bagi sumbangan tunai sempena majlis perkahwinan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Trend baharu itu juga dianggap sebagai cara kurang sopan dan lari daripada tujuan asal mengadakan majlis.
Malah, ada juga yang melihat perkara tersebut sebagai satu tindakan terdesak untuk mendapatkan sumbangan orang ramai.
BACA LAGI: Ibu berang bayi usia 3 bulan disuntik vaksin tamat tempoh, doktor buat muka tak bersalah!

Adat salam kaut biasanya dilakukan oleh ibu bapa pengantin. — Facebook/Bidadari Anggun
"Saya tak boleh bersangka baik dalam hal ini kerana ibarat 'mengemis' pada tetamu.
"Kebiasaannya tetamu yang hadir, akan ada yang salam kaut dengan tuan rumah tetapi itu tue selalunya terus kepada ibu bapa, bukan kepada anak seperti tertera diatas meja ini nak meminta untuk pergi bulan madu.
"Walaupun tidak memaksa tetapi nampak macam terdesak," luah pengguna Facebook Tokaisan MY.
Pandangan sama turut dikongsi pemilik akaun Obie Sue yang menegaskan bahawa salam kaut pada asalnya sekadar sokongan tetamu dan bukanlah peluang untuk menampung kos majlis atau perbelanjaan pasangan pengantin.
"Tetamu hulur sebab nak raikan, bukan sebab nak tolong bayar balik modal kenduri.
"Bila sampai tahap siap cetak kod QR minta duit, hilang terus manisnya majlis," katanya.
Tidak mahu trend tersebut terus berleluasa, dia menyarankan agar pasangan pengantin lebih peka dengan perancangan kewangan sebelum melakukan majlis secara besar-besaran.
"Kalau rasa tak mampu buat kenduri besar, cukup sekadar akad nikah.
"Duit itu lebih baik disimpan untuk bina kehidupan selepas kahwin," jelasnya.
Sementara itu, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa tindakan mengutip duit secara terbuka daripada tetamu boleh menjadi bidaah jika dilakukan dengan niat mencari keuntungan daripada majlis tersebut.
Bidaah adalah inovasi atau ajaran baru dalam urusan agama yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, sama ada melalui perkataan, perbuatan atau persetujuan.
Namun, menerima pemberian secara sukarela daripada tetamu adalah harus dan termasuk dalam sunah.
Beliau turut menegaskan bahawa kenduri kahwin pada asalnya ialah tanda kesyukuran dan bukan tempat untuk mencari pulangan.
Tambahnya, jika niat kenduri bertukar menjadi urusan mengaut keuntungan, maka hilanglah nilai ibadah dan keberkatannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
