SEORANG ibu meluahkan rasa kecewa dan kebimbangan selepas mendakwa bayinya berusia tiga bulan disuntik vaksin sudah tamat tempoh.
Menerusi perkongsiannya di akaun Threads @jajaaaismail, kejadian berlaku ketika sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik baru-baru ini.
Wanita tersebut juga mendakwa bahawa anaknya disuntik vaksin jenis Hexaxim, khusus buat bayi.
BACA LAGI: 'Saya pernah hadiahkan Rodblox Coin sebab pandai baca jawi', game erat 'bonding' ibu dan anak tiri
BACA LAGI: 'Bayarlah seadanya', peluncur wanita Sabah hidupkan semangat komuniti melalui Sesi Tikar Mengkuang
Vaksin Hexaxim adalah vaksin gabungan yang melindungi bayi daripada enam penyakit serius termasuk difteria, tetanus, pertusis (batuk kokol), poliomielitis, hepatitis B dan jangkitan Haemophilus influenza jenis B.
Menurutnya, kejadian itu disedari selepas doktor memanggil semula ke dalam bilik rawatan beberapa minit selepas suntikan dilakukan.
"Masuk sahaja bilik doktor, dengan mukanya selamba dia cakap vaksin yang dicucuk pada anak saya dah tamat tempoh.
"Macam mana boleh cucuk ubat tanpa tengok tarikh luput di kotak?" soalnya.
Lebih merisaukan apabila doktor berkenaan kemudian menawarkan untuk memberi suntikan baharu bagi menggantikan vaksin tamat tempoh itu tanpa memberi penjelasan mahu pun jaminan keselamatan.
Beliau dan suami bagaimanapun menolak untuk anaknya disuntik kali kedua kerana bimbang terdapat kesan serius.
"Saya tanya apa bukti ubat sebelum ini tiada kesan langsung seperti yang doktor kata.
"Mungkin kurang berkesan, tetapi masih perlukan jarak masa untuk suntik kali kedua.
"Bila kami ke klinik pakar kanak-kanak lain, doktor di situ pun tak berani nak suntik anak dan perlu tunggu kalau ada kesan sampingan atau tidak," jelasnya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai warganet yang menyuarakan kebimbangan terhadap tahap pengawasan ubat di fasiliti kesihatan.
Prihatin dengan keadaan kanak-kanak terbabit, seorang doktor tampil memberi maklum balas di ruangan komen hantaran berkenaan.
"Vaksin yang tamat tempoh mungkin tidak berkesan seperti dos sepatutnya.
"Tetapi, ada data yang menunjukkan bahawa tindak balas mungkin berlaku selepas itu.
"Hexaxim ialah vaksin yang tidak aktif, jadi selamat untuk disuntik semula. Tetapi, saya memahami kebimbangan anda sebagai ibu bapa dan anda tidak mahu disuntik kali kedua.
"Boleh buat aduan di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) akan membantu meningkatkan keselamatan pesakit dan mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang," komen pemilik akaun @drjaso11.
Ibu bapa yang berdepan dengan situasi sama turut disarankan agar melakukan aduan secara terus kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
