Sisa jadi sukses, wanita Sabah jana untung guna batang pokok pisang jadi kraf tangan


  • Bisnes
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Dengan bimbingan Hanisa (kiri), Vida kini menghasilkan kraf tangan daripada serat pisang untuk menyara keluarganya. — The Star

 

 

SUDAH menjadi kebiasaan setiap kali musim menuai, kesemua batang pokok pisang akan ditebang dan dilonggokkan di ladang.

Tidak mahu sisa tanaman itu terbuang begitu sahaja, para petani dari Kampung Kurangji, Kota Marudu, Sabah lantas mengambil inisiatif untuk memanfaatkannya.

Bagi seorang daripada pengusahanya, Hanisa Boumin, batang pisang yang sudah ditebang boleh diolah menjadi pelbagai produk kraf tangan dan perhiasan mesra alam berharga.

BACA LAGI: 'Bekerja macam kelawar', beribu donat rosak dan pahit tak patah semangat suri rumah, kini bergelar jutawan

BACA LAGI: 'Bayarlah seadanya', peluncur wanita Sabah hidupkan semangat komuniti melalui Sesi Tikar Mengkuang

Hanisa mengolah batang pisang yang dibuang kepada kraf mesra alam. — The Star

"Semuanya bermula sebagai satu eksperimen. Saya menonton video di media sosial tentang komuniti di Afrika, Indonesia dan India yang menghasilkan barangan kraf seperti cawan dan pinggan daripada batang pisang.

"Saya terinspirasi dan mahu cuba mengurangkan pembaziran di ladang sendiri," katanya.

Sejak 2023, wanita berusia 38 tahun itu mula menghasilkan bakul, beg tangan, alas cawan serta penutup lampu menggunakan serat pada batang pisang.

Katanya, daripada satu batang pokok pisang, kini dia mampu mengekstrak antara 100 hingga 200 gram serat boleh diguna, bergantung kepada saiz dan jenis pisang.

"Contohnya, pisang tanduk dan pisang nangka menghasilkan lebih banyak serat kerana batangnya tinggi.

"Manakala, pisang emas dan berangan pula kurang," jelas wanita daripada etnik Dusun Kimaragang itu.

Jana pendapatan sampingan

Sama seperti ramai petani lain, Hanisa sentiasa mencari jalan untuk menambah pendapatan terutama selepas anak perempuannya, Evva Elysha Selvesius, 11, disahkan menghidap thalassaemia dan memerlukan rawatan berterusan.

"Suami saya bekerja sebagai anggota polis bantuan di Bandar Sunway, Selangor.

"Pendapatannya juga tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga, apatah lagi kos rawatan anak.

"Itu menjadi pendorong untuk saya belajar kemahiran baharu dan berusaha mencari sumber pendapatan tambahan," ujarnya.

Penduduk wanita di kampung berhampiran diajar mengitar semula batang pisang menjadi produk kraf tangan. — The Star

 

Kurangkan pencemaran dan sisa

Kota Marudu yang terkenal sebagai kawasan pertanian khususnya pengeluaran jagung, nanas dan pisang menjadi lokasi Hanisa mempraktikkan konsep kitar semula sisa pertanian.

"Lapisan dalam batang pisang biasanya digunakan dalam masakan seperti kari, sup atau bosou (jeruk kering tradisional Sabah).

"Manakala, lapisan luar yang keras sering dibakar dan menyebabkan pencemaran udara.

"Dengan memanfaatkan serat ini, saya dapat kurangkan pembakaran terbuka dan menghasilkan sesuatu yang berguna serta mesra alam," jelasnya.

Serat pisang jadi sumber boleh diperbaharui

Selain kraf tangan, sisa batang pisang kini semakin banyak digunakan untuk menghasilkan sumber tenaga, serat tekstil semula jadi dan produk lain seperti kertas.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Multidisciplinary Applied Research And Innovation, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) pada 2023 mendapati, serat pisang mempunyai kelebihan berbanding serat sintetik kerana ia ringan, tahan hakisan, tiada toksik, kukuh dan mudah lupus secara semula jadi.

Setiap batang pisang akan diproses untuk mendapatkan seratnya. — The Star

Untuk menghasilkan serat, Hanisa menggunakan pisau atau berus dawai bagi menanggalkan kulit batang pisang sebelum ia dibersihkan dan dijemur selama beberapa hari.

"Serat mesti dikeringkan sepenuhnya. Jika masih lembap, kulat boleh tumbuh dan melemahkan kualiti serat.

"Tanpa mesin, kerja ini memang perlahan dan memenatkan.

"Tetapi saya yakin dengan potensi usaha ini. Jika ada modal nanti, saya mahu beli mesin untuk tingkatkan pengeluaran," ungkapnya.

Dari kampung ke pentas usahawan

Demi menimba ilmu, Hanisa juga sering ke Kota Belud walaupun harus menempuh selama dua jam perjalanan dari kampungnya.

Tujuannya hanyalah untuk belajar daripada penggiat kraf tradisional yang mengolah kulit pokok menjadi kain dan tali.

Daripada pengalaman itu, dia mula menghasilkan beg dan bakul di bawah jenama Kogozz, yang bermaksud 'ikat' dalam bahasa Dusun.

Usaha tersebut turut berhasil menjana pendapatan antara RM600 hingga RM1,000 sebulan.

Serat yang sudah dikeluarkan daripada batang pisang kemudiannya dijemur sehingga kering. — The Star

 

 

Kegigihannya pada masa sama berjaya membuka mata ramai apabila Hanisa terpilih sebagai 10 pemenang utama Pitch Borneo 2025 sekali gus membawa pulang geran perniagaan berjumlah RM20,000.

"Saya amat bersyukur dan bersemangat untuk teruskan usaha ini," katanya gembira.

Memperkasa wanita desa

Kini, Hanisa menjadi antara usahawan desa berjaya di Kampung Kurangji serta menerima tempahan kraf tangan pisang daripada pelbagai agensi kerajaan di Kota Kinabalu.

Bagi memenuhi permintaan, dia mengambil langkah bekerjasama dengan 30 penduduk wanita dari enam kampung sekitar Kota Marudu termasuk Kampung Rasak Darat, Kampung Geruda dan Kampung Salimandut.

"Kebanyakan mereka adalah suri rumah, petani dan ibu tunggal.

"Saya bekalkan serat pisang kering supaya mereka boleh menyiapkan tempahan dari rumah masing-masing.

"Mereka hanya perlu kesabaran dan sedikit kreativiti," katanya sambil menambah kesemua produk mereka turut dijual di sebuah kedai di Pekan Tandek, Kota Marudu.

Antara produk kraf tangan yang dihasilkan daripada batang pokok pisang. — The Star

Sumber rezeki baharu

Antara penggiat di bawah bimbingan Hanisa ialah Vida Maijon, 38, yang merupakan rakan sekampungnya sejak kecil.

"Suami saya petani dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

"Dengan harga barang sekarang naik, memang tidak cukup.

"Melalui kraf ini, sekurang-kurangnya saya boleh bantu tambah pendapatan sedikit," ulasnya.

Warga penduduk Kampung Nolotan yang pernah bekerja sebagai pembantu di pusat terapi pertuturan itu juga mahu menumpukan perhatian kepada keluarga sambil menghasilkan kraf pisang pada waktu lapang.

"Saya biasa mengait, jadi tidak sukar untuk menyesuaikan diri.

"Sekarang saya buat bakul dan alas cawan ikut tempahan.

"Pendapatan sekitar RM300 sebulan saya guna untuk simpanan dan keperluan anak-anak," ujarnya.

Baginya, usaha kecil itu bukanlah sekadar menjana pendapatan, tetapi memberi ruang dan peluang kepada wanita di luar bandar untuk lebih berdikari serta menyumbang kepada keluarga tanpa meninggalkan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri. — The Star/SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram