MELALUI fasa perceraian semestinya bukanlah fasa yang mudah bagi setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.
Tidak terlepas daripada dilanda ujian, seorang wanita tampil berkongsi pengalamannya ketika berdepan situasi sama.
Menerusi hantaran dikongsikan di akaun Facebook Ija Juhari baru-baru ini, keperitan itu ditempuhi seorang diri dengan cekal tanpa sebarang keluhan dipamerkan di media sosial.

Perceraian bukanlah perkara yang gembira untuk dikongsikan kepada orang ramai. — Gambar hiasan
Baginya, setiap rahsia atau hal rumah tangga hanya boleh dikongsi oleh rakan atau ahli keluarga terdekat.
Lebih menginspirasikan apabila wanita berkenaan tetap menjalani kehidupan harian dan meneruskan pekerjaan dengan tenang.
"Di kampung semua ingat suami aku kerja jauh atau tak dapat cuti. Sebenarnya kami dah bercerai, tetapi aku tak bercerita.
"Di pejabat pun majikan terkejut bila ada yang bergosip. Majikan lagi terkejut bila tak nampak apa-apa kekurangan ketika bekerja walaupun sedang hadap fasa ini.
"Bekas suami pun terkejut aku boleh buat kerja macam tiada apa-apa terjadi padahal kena cerai masa anak umur empat bulan, sangat susah.
"Rumah sewa aku yang bayar, tetapi dia duduk. Aku nak duduk sebab dekat dengan pejabat, tetapi dia tak mahu keluar.
"Selama 10 bulan aku bayar sewa rumah manakala dia tak bayar satu sen pun," katanya sambil menambah bahawa masalah peribadinya tidak mahu sesekali dikaitkan dengan pihak lain.
Walaupun terpaksa menelan kepahitan realiti itu, Ija tetap dengan pendiriannya untuk tidak menunjukkan sisi sedih atau kecewa di hadapan orang ramai.
Katanya, setiap masalah tidak perlu dimuat naik di media sosial meskipun belum berpisah.
"Bila kita tulis tentang bekas pasangan, mereka yang kenal pasti akan ada sedikit penilaian.
"Lebih teruk apabila anak-anak yang membesar baca semua pergaduhan antara ibu bapa mereka.
"Bila baru bercerai, ramai yang akan tertarik dengan cerita kita, bukan simpati malah, lebih kepada menyibuk.
"Jangan babitkan orang lain dalam penceraian kita terutama anak-anak. Mereka tak bersalah. Tak perlu salahkan sesiapa sebab masing-masing ada salah.
"Jangan bagi anak-anak rasa benci pada ibu atau ayah mereka walau buruk sekali pun," jelasnya.
Baginya, kekuatan seorang wanita bukan terletak pada berapa banyak kisah sedih yang dikongsi tetapi, bagaimana mereka mampu bangkit dan meneruskan hidup tanpa menanam kebencian.
Selepas hampir sedekad bergelar ibu tunggal, Ija melihat kehidupannya jauh lebih tenang.
Rezekinya juga semakin luas sejak dia belajar memaafkan dan tidak membuka aib mana-mana pihak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
