'Bekerja macam kelawar', beribu donat rosak dan pahit tak patah semangat suri rumah, kini bergelar jutawan


  • Bisnes
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Produk donat sejuk beku Kurnia kini dijual di pelbagai kedai seluruh Indonesia. — Agensi

 

 

BERMULA sekadar hobi membuat roti untuk anak-anak, seorang suri rumah kini bergelar jutawan hasil daripada jualan donat sejuk beku di rumah.

Itulah kisah pengasas Donat Frozen Muna, Kurnia Ningsi yang membuktikan keazaman dan kreativiti mampu mengubah dapur kecil menjadi empayar perniagaan.

Meskipun bisnesnya berkembang pesat dengan jaringan penjual semula (reseller) di pelbagai daerah sekitar Indonesia, ia bukanlah satu kejayaan yang mudah untuk dikecapi.

BACA LAGI: Ibu berang bayi usia 3 bulan disuntik vaksin tamat tempoh, doktor buat muka tak bersalah!

BACA LAGI: 'Bayarlah seadanya', peluncur wanita Sabah hidupkan semangat komuniti melalui Sesi Tikar Mengkuang

Usaha Kurnia yang berterusan akhirnya membuahkan hasil. — Agensi

Wanita berusia 53 tahun itu juga tidak menolak bahawa perlu berdepan dengan pelbagai kegagalan sebelum menemui 'jalan emasnya'.

"Usaha itu tidak selamanya lancar. Kadang jatuh, kadang bangun. Yang penting, bila jatuh kita mesti bangkit semula," katanya.

Sudah terbiasa dengan selok-belok dunia perniagaan, Kurnia memulakan langkahnya sejak melanjutkan pengajian di universiti lagi.

Selain menjual kuih di pasar pagi untuk menampung kehidupannya di asrama, dia juga sering memasarkan kain tradisional Kalimantan, Sasirangan sehingga mendapat gelaran 'Endah Sasirangan'.

Namun, selepas berkahwin, Kurnia terpaksa berhenti sementara demi memberi tumpuan kepada keluarga.

Tidak berdiam lama, Kurnia kemudiannya kembali aktif dengan membuka perniagaan roti dari rumah pada sekitar 2023.

Tempahan yang diterimanya juga sangat tinggi sehingga mencecah ribuan biji sehari.

Tekstur donatnya yang gebu memikat hati ramai. — Agensi

Pun begitu, kerja pada waktu malam sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya.

"Saya seperti kelawar, kerja malam tetapi siang tetap perlu beroperasi.

"Lama kelamaan terasa sangat penat," luahnya.

Percubaan demi percubaan dilakukan, dari produk makanan ringan seperti rempeyek mini, stik sayur dan coklat.

Semuanya masih belum mencapai sasaran jualan yang diharapkan.

Sehinggalah 2016, Kurnia mula menjual donat sejuk beku yang kini menjadi antara produk pilihan masyarakat tempatan.

Meskipun lega dengan kejayaan kecil itu, perniagaannya tetap dilanda ujian.

Antara detik paling pahit buatnya adalah ketika perlu menyediakan tempahan besar daripada pelanggan.

"Saya tersilap beli bahan. Serbuk penaik yang sepatutnya digunakan tetapi tertukar dengan soda bikarbonat.

"Ia menyebabkan lebih 3,000 biji donat terpaksa dibuang kerana rasanya pahit.

"Perasaan saya sangat sakit, tetapi kalau dijual pelanggan boleh hilang kepercayaan," jelasnya.

Jenama Kurnia mula dikenali selepas mendapat liputan media. — Agensi

Strategi bangkit

Kurnia menyedari bahawa kualiti sahaja tidak mencukupi tanpa strategi pemasaran yang tepat.

Dia justeru mula membina rangkaian reseller agar produk lebih mudah dipasarkan ke seluruh daerah.

Langkah itu secara tidak langsung membuahkan hasil besar apabila kisah Donat Muna disiarkan di televisyen.

Dia turut menukar sistem pembayaran penuh secara tunai bagi mengelakkan penipuan dan kesilapan daripada pihak kedai.

"Dahulu pernah titip hasil jualan dari pemilik kedai, tetapi sering kurang kerana selalu tutup dan pindah.

"Jadi, saya guna sistem tunai yang lebih selamat dan jelas," katanya.

 

 

 

 

Menariknya, waktu pandemik Covid-19 menjadi titik lonjakan bagi perniagaan Donat Muna.

Ketika ramai usahawan terpaksa gulung tikar, permintaan donat beku Kurnia meningkat sehingga 500 peratus kerana masyarakat memilih makanan praktikal yang tahan lama.

Hasil jualannya bulanannya juga mencapai RM43,000 (RP170 juta) dengan tambahan tenaga kerja dan peralatan baharu.

Kini, Donat Frozen Muna kekal bertahan dengan pengeluaran harian sekitar 30 hingga 50 kilogram (kg).

"Ada reseller lama yang kembali sebab pelanggan mereka rindukan rasa donat kami.

"tu tanda produk kami benar-benar meninggalkan kesan," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram