Giliran anak belajar kulinari, ikut jejak ibu, ayah alumni TVET, potensi luas dalam industri


  • Bonda
  • Ahad, 26 Okt 2025

Wan Danial (dua dari kiri) hadir bersama keluarga melihat prospek terbaik pada Karnival Pendidikan TVET Madani 2025 Peringkat Kebangsaan di Klang, Selangor.xxxxx

SOKONGAN ibu bapa terhadap anak terutama dalam memilih laluan pendidikan adalah penting bagi memastikan masa depan yang lebih baik dan stabil.

Berpeluang meninjau ke Karnival Pendidikan TVET Madani 2025 Peringkat Kebangsaan di KSL Esplanade Mall, Klang, Selangor, Majoriti bertemu beberapa ibu bapa berkongsi pandangan positif mereka terhadap potensi dalam bidang tersebut.

Tidak menghalang minat anak untuk memilih bidang kemahiran, Zaihasra Tukiman, 45, dan suami, Wan Muhamad Asriza Wan Mustapha, 46, hadir memberi sokongan sepanjang program berlangsung.

BACA LAGI: Bermula cuma 'order' 3 botol, Jus Asam Kunyit Rahsia Nenek gigih beroperasi dari ceruk dapur

BACA LAGI: Anak usia 3 tahun tunjuk ciri kurang keyakinan diri, kecewa, ini penjelasan pakar kaunseling

Antara produk hasil pelajar TVET yang dipamerkan sepanjang program berlangsung.

Ibu bapa kepada pelajar bidang seni kulinari Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Banting, Selangor, Wan Danial Darwish, yakin dengan minat dan bakat semula jadinya.

Kata Zaihasra, minat Wan Danial berusia 17 tahun dalam bidang kulinari sudah terserlah sejak kecil.

"Dari kecil dia memang suka masak walaupun hanya mi segera, tetapi setiap kali buat mesti sedap.

"Paling ketara adalah ketika berusia 11 tahun dia ada usaha buat sandwic sendiri tanpa minta bantuan kami untuk dijual di sekolah.

"Kami pun terkejut sampai ada cikgu memberitahu hasilnya lazat.

"Apabila nampak potensi itu, kami memang beri galakan dan sokongan untuk terus mendalami bidang diminati," katanya kepada Majoriti.

Pasangan yang pernah melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran itu juga tidak menafikan kelebihan TVET kepada generasi kini.

Wan Muhamad Asriza pada masa sama melihat bidang kulinari bukan sekadar mampu merebut peluang pekerjaan di restoran atau hotel, malah boleh menjangkau lebih jauh.

Bagi graduan Institut Kemahiran MARA (IKM) itu, peluang pekerjaan dalam bidang kulinari juga meliputi industri besar lain seperti minyak dan gas.

"Saya dahulu pun belajar kemahiran mekanikal, isteri pula ambil bidang fesyen jadi, kami tidak melihat TVET adalah satu kekurangan.

"Macam sekarang, anak boleh cari pengalaman lebih luas contohnya, kerja sebagai cef di kapal pelayaran, pelantar minyak bukan sahaja di Malaysia tetapi sampai ke luar negara.

"Dunia kulinari ini besar, lebih-lebih lagi anak saya lelaki. Jadi saya rasa potensi untuk diterima kerja juga amat tinggi dan kami akan terus memberi sokongan.

"Setiap kali dia sertai pertandingan atau program, kami akan sentiasa datang sebagai tanda sokongan," jelasnya.

Nur Alya (kanan) bersama rakannya menyertai pertandingan kolaj.

Kelebihan TVET

Sementara itu, Mohamad Zaidi Jaafar, 52, yang turut hadir menyokong anaknya, Nur Alya Nasuha, 16, pelajar pastri dan bakeri di kolej sama berkata, karnival sedemikian sememangnya memberi pendedahan penting kepada para pelajar.

Katanya, sesi ilmiah seperti Bicara Industri yang disampaikan oleh beberapa pakar industri secara tidak langsung membuka mata masyarakat tentang peranan TVET.

"Ia sangat bermanfaat kerana membantu pelajar memahami laluan kerjaya selepas tamat belajar.

"Panel yang hadir juga memberi pandangan realistik tentang prospek bidang masing-masing," katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menyokong minat setiap anak-anak mengikut kemahiran mereka.

Mohamad Zaidi bagaimanapun menambah bahawa beliau sesekali tidak menghalang anaknya melanjutkan pengajian dalam bidang selain masakan.

"Kalau anak saya minat elektrik atau mekanikal sekalipun, saya tetap sokong.

"Anak saya juga dinobatkan sebagai juara peringkat kebangsaan untuk pertandingan pastri di Seremban baru-baru ini, sekali gus membuatkannya lebih bersemangat.

"Paling penting minat kerana kalau belajar tanpa minat sukar untuk berjaya," katanya.

Bidang kosmetologi

Dalam pada itu, pelopor rawatan estetik di Malaysia, Profesor. Dr. Ungku Mohd Shahrin Mohd Zaman, 55, turut hadir sebagai seorang barisan panel industri dalam sesi Bicara Industri dan Laluan Kerjaya Alumni di pembukaan karnival yang berlangsung pada Sabtu.

Mohd Shahrin (kanan) memberi pendedahan lebih luas tentang dunia TVET dalam industri.

Beliau pada masa sama menekankan tentang bidang kosmetologi yang kini berkembang pesat dalam pendidikan kemahiran Malaysia.

"Bagi saya, definisi kosmetologi ini banyak dan bukan sahaja tentang rawatan estetik atau kecantikan, tetapi termasuk aspek kesihatan dan makanan.

"Kosmetologi bukan libatkan produk kosmetik semata-mata. Malah, makanan berfungsi seperti probiotik juga termasuk sekali.

"Disebabkan itu, kolej-kolej yang menyediakan kursus TVET amat penting bagi memberi pendedahan kepada para pelajar untuk pastikan mereka memperoleh latihan yang selamat dan mampu menyumbang kepada industri," ujarnya.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa untuk memberi sokongan penuh kepada anak-anak yang menunjukkan minat dalam bidang tersebut.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu juga melibatkan lebih 10 institusi awam dan swasta yang menawarkan kursus kemahiran kepada pelajar.

Antara aktiviti diadakan termasuk pertandingan kolaj, Innosteam (hospitaliti dan teknologi), fesyen 3R (konsep kitar semula), pembentangan penyelidikan dan penulisan ilmiah serta beberapa persembahan menarik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram