ISTERI kepada jaguh paralimpik kebanggaan negara, Datuk Abdul Latif Romly, Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi berkongsi berita gembira mengumumkan bakal menimang cahaya mata sulung.
Khabar manis itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Instagram baru-baru ini yang memaparkan beberapa foto percutian mereka.
Perkongsian tersebut disertakan dengan ucapan syukur buat anak sulungnya yang bakal lahir tidak lama lagi.
"Sayang, mommy dan daddy," tulisnya ringkas.
Berita gembira itu sekali gus mendapat perhatian ramai termasuk rakan dan peminat yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah serta mendoakan kesihatan ibu dan bayi.
Untuk rekod, wira sukan lompat jauh paralimpik kebangsaan itu mendirikan rumah tangga dengan Nurul Nabila pada 13 Disember 2022.
Perkenalan sebagai rakan sejak zaman persekolahan juga akhirnya membawa pasangan tersebut sehingga ke jinjang pelamin.
Antara kejayaan utama Abdul Latif adalah meraih pingat emas ketiga Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) di Stadium Olimpik Tokyo 2021 selepas mengulangi pencapaian yang diraih pada temasya sama di Rio 2016.
Beliau turut mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut Sukan Para Asia (APG) dalam acara lompat jauh T20 selepas melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dan 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Namanya sekali gus mengharumkan negara dalam arena sukan apabila kejayaannya di pentas antarabangsa melayakkan beliau menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
