Bermula cuma 'order' 3 botol, Jus Asam Kunyit Rahsia Nenek gigih beroperasi dari ceruk dapur


  • Bisnes
  • Rabu, 22 Okt 2025

Ayrin lebih fokus mempromosikan kebaikan dan manfaat produk berbanding gaya hidup mewah sebagai usahawan.

 

 

DALAM kesibukan dunia moden, alternatif semula jadi sememangnya menjadi pilihan terbaik bagi individu yang ingin menjaga kesihatan tubuh.

Selain aktif bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat, pengambilan makanan tambahan seperti jus herba mampu memberi keseimbangan.

Justeru, minuman Jus Asam Kunyit Rahsia Nenek dicipta khas untuk memberi manfaat terutama kepada golongan wanita.

BACA LAGI: Makan sambil berjalan dianggap tidak sopan, pencipta mi segera dalam cawan cabar tradisi Jepun

BACA LAGI: Hasil didikan ibu bapa, usahawan muda bijak susun waktu, urus 6 bisnes sambil belajar

Hanya bahan semula jadi yang segar digunakan dalam proses pembuatan jus asam kunyit tersebut.

Beroperasi di dapur kecil, pengasasnya, Ayrin Adhirah Yazid memanfaatkan warisan turun-temurun tersebut kepada seluruh masyarakat tempatan.

Ia secara tidak langsung mengubah corak perjalanan kehidupannya dalam merentasi dunia perniagaan.

Bermula dengan hanya tiga botol pesanan daripada seorang rakan, kini jenamanya semakin dikenali ramai.

Demi menjaga kualiti, jus tersebut dihasilkan sendiri menggunakan bahan-bahan segar dan tanpa bahan pengawet, pewarna mahu pun penstabil makanan.

Wanita berusia 31 tahun itu juga berkesempatan berkongsi permulaan awal langkahnya dalam industri perniagaan.

"Saya mula menjual sejak September 2024 selepas berhenti kerja sebagai akauntan.

"Disebabkan saya memang minum jus ini sejak umur 13 tahun dan resipinya pun daripada nenek.

"Di rumah memang ibu selalu buatkan sebab ia bagus untuk rahim dan menstabilkan hormon," katanya kepada Majoriti.

Ibu kepada dua orang anak itu juga berkata, permintaan daripada seorang rakannya untuk mendapatkan jus tersebut sekali gus memberi ilham dan idea kepadanya untuk membuka operasi perniagaan sendiri.

Jus asam kunyit dijual pada harga serendah RM16 sebotol.

Menurutnya, daripada tiga botol, Ayrin kini mampu menjual sehingga 80 botol setiap hari.

"Kalau ikut cara tradisional nenek saya, jus ini diminum bersama telur ayam mentah yang dicampur sekali.

"Jus ini juga bukan wanita sahaja, tetapi lelaki pun boleh minum sebab ia sangat bagus untuk membuang angin dalam badan, meningkatkan sistem imun badan sebab kunyit ada antiseptik yang bagus.

"Saya juga ada keturunan dan genetik yang ada penyakit autoimun. Jadi, kunyit sangat membantu untuk memperbaiki semula sistem badan," jelasnya.

Tambahnya, bisnes kecilnya juga sedikit sebanyak memberi ruang buatnya untuk meluangkan waktu bersama anak-anaknya yang masih kecil dan masih belum putus susu badan.

Selain asam jawa dan kunyit, jus buatannya turut ditambah dengan halba dan daun pandan sebagai penambah aroma dan rasa manis.

Ia juga dimasak selama beberapa jam tanpa sebarang tambahan gula pasir setiap malam.

"Saya mula rebus pukul 9 malam dan siap sekitar 5 pagi. Pagi itu terus kisar dan bungkus untuk penghantaran.

"Dalam sehari saya boleh siapkan 100 botol jus.

"Disebabkan produk ini dibuat secara segar, pelanggan tak boleh biarkan ia lebih tiga hari di suhu bilik.

"Jus ini boleh tahan lama sekitar tiga hingga empat bulan kalau disimpan dalam peti beku," ujarnya.

Walaupun operasi dilakukan dari rumah, Ayrin tetap mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan dengan mengambil suntikan typhoid sebagai langkah berjaga-jaga.

 

 

 

 

Berbeza dengan pengalamannya yang pernah menjual set penjagaan wajah suatu ketika dahulu, Ayrin lebih memilih untuk memberi keutamaan terhadap manfaat produknya kali ini.

"Saya nekad nak buat perniagaan yang lebih stabil, kekal lama dan bukan hit and run.

"Dahulu jualkan produk orang kena tunjuk gaya hidup mewah untuk tarik pelanggan, tetapi sekarang tidak lagi.

"Saya nak orang beli sebab percaya pada kebaikan produk, bukan mahukan gaya hidup saya," kongsinya.

Lebih menambah motivasi untuknya apabila mendapat maklum balas daripada pelanggan yang memperoleh kesihatan selepas mengambil jus asam kunyitnya.

"Ada yang bagitahu haid dah kembali normal, ibu lepas bersalin pula bertenaga dan tak ada masalah kurang susu badan.

"Saya sendiri sedar kebaikan jus ini bila minum sejak remaja dan tak ada alami masalah seperti senggugut atau emosi tidak stabil," katanya.

Ayrin pada masa sama menyarankan agar jus tersebut diminum selepas bersalin dan bukan ketika hamil bagi para ibu.

Selepas setahun menjalankan operasi dari rumah, Ayrin tidak menafikan untuk mengambil langkah lebih besar bagi mengembangkan jenamanya.

Dia juga sedang berusaha menjual produknya menerusi kerjasama dengan pihak hospital dan pusat penjagaan pantang (confinement center). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram