[VIDEO] GreenScoot permudah urusan orang tua-OKU ke masjid sekitar Kedah, kini intai pasaran Brazil-Nigeria


  • Bisnes
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Muhammad Shahril turut merancang untuk memperluaskan rangkaian bisnesnya ke peringkat antarabangsa.

 

 

MUNCUL sebagai antara jenama yang kian berkembang pesat, GreenScoot kini peneraju pelbagai jenis kenderaan elektrik sesuai untuk semua peringkat umur.

Ia juga menjadi penyelesaian perjalanan alternatif kepada masyarakat melalui skuter dan basikal elektrik berkualiti.

Menyasarkan untuk memperkenalkan mod pengangkutan hijau, GreenScoot menawarkan pengangkutan mudah alih dan menjimatkan kos.

BACA LAGI: Pinjam duit ibu bapa jadi modal, remaja 19 tahun bergelar bilionair guna strategi bijak bangunkan Bolt

BACA LAGI: Bermula cuma 'order' 3 botol, Jus Asam Kunyit Rahsia Nenek gigih beroperasi dari ceruk dapur

Muhammad Shahril (tiga dari kanan) bersama pasukannya menjadi tonggak kejayaan GreenScoot.

Bertapak di Alor Setar, Kedah, jenama tersebut sekali gus menjadi antara penggerak utama solusi mobiliti elektrik terutama buat warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Sering melihat pergerakan terbatar yang dihadapi golongan tersebut secara tidak langsung memberi idea pada pengasasnya, Muhammad Shahril Ibrahim.

"Bila pergi masjid selalu nampak jemaah terutama warga emas dan OKU ini tak kuat nak pandu kereta atau tunggang motosikal biasa.

"Jadi, tercetuslah idea saya untuk bawakan teknologi ini bagi memudahkan mereka bergerak ke mana sahaja," katanya kepada Majoriti.

Berkat basikal roda tiga

Bermula operasi sejak Oktober 2017 dengan nama FAS Cahaya Enterprise dan North Million Toys, Muhammad Shahril membuat kemudiannya membuat keputusan untuk menaik taraf identiti syarikatnya kepada FAS Million (M) Sdn. Bhd pada 16 April 2019.

Ditanya tentang perjalanannya sepanjang membina jenama tersebut, lelaki berusia 37 tahun itu tidak menolak bahawa berdepan dengan pelbagai liku sebelum berjaya ke tahap sekarang.

Selain basikal elektrik, model biasa turut dijual di GreenScoot.

Membesar dalam keluarga serba kekurangan juga menyuntik semangat Muhammad Shahril untuk terus melebarkan sayap perniagaannya.

"Sejak sekolah rendah lagi saya dah keluar cari rezeki, bantu keluarga dengan tolong datuk jual sayur di pekan Ahad yang ketika itu hanya dapat upah RM5 dan baki sayur untuk dibawa pulang.

"Kemudian, saya basuh cawan di kedai kopi sebelum ke sekolah pada sesi petang serta bantu ibu jual nasi lemak guna basikal roda tiga di sekitar taman perumahan.

"Pada bulan puasa, bila ayah tidak dapat berniaga ais krim, saya ktup barang terpakai seperti besi dan kotak guna basikal roda tiga untuk tambah pendapatan keluarga.

"Ketika remaja, saya juga pernah bekerja dengan syarikat binaan mengikut musim," ceritanya.

Meskipun berdepan tekanan hebat, ditambah tinggal di rumah yang daif dengan bumbung bocor dan tandas tidak sempurna, ia tetap mengajarnya erti tanggungjawab dan kerja keras.

Baginya, kesemua kesusahan dihadapinya suatu ketika dahulu menjadi faktor utama kejayaan dikecapinya hari ini.

Basikal elektrik yang mampu memudahkan pergerakan terutama bagi warga emas dan OKU.

Tidak mahu terus berada dalam kepompong sama, Muhammad Shahril mengambil langkah berani untuk mula berniaga secara kecil-kecilan pada usia 28 tahun.

"Pada 2012, saya mula berniaga kasut dan selipar berharga RM10 di Kuala Perlis sebelum diberi amaran oleh pihak berkuasa.

"Namun, saya teruskan lagi percubaan pada 2020 untuk berniaga alat permainan dan basikal serta tawarkan perkhidmatan sewaan sehingga 2023.

"Alhamdulillah, selepas lebih sedekad jatuh bangun, perjalanan ini membentuk tekad saya untuk membina jenama tempatan GreenScoot yang memberi makna mobiliti kepada individu memerlukan," jelasnya.

Lebih menarik apabila Muhammad Shahril mengambil pendekatan untuk membawa teknologi produk yang lebih selamat, mesra alam tanpa sebarang asap.

Katanya, setiap model yang dikeluarkan dihasilkan berdasarkan keperluan pengguna.

Antaranya adalah model kecil, boleh dilipat dan dimasukkan ke dalam kereta untuk ke hospital mahu pun pusat beli-belah.

Manakala, model besar pula direka bagi perjalanan sedikit jauh seperti ke surau dengan kapasiti berat sehingga 300 kilogram (kg).

"Ada pelanggan yang datang dengan tongkat, tetapi bila mereka cuba model G1 Lipat Tigasikal kami, mereka mudah bergerak sendiri.

"Lagi pula ketahanan baterinya antara dua hingga tiga tahun kerana kami memang import bateri yang berkualiti untuk semua produk," ujarnya.

 

 

 

 

Walaupun ramai pengguna masih membandingkan harganya dengan produk murah dalam talian tanpa melihat aspek keselamatan, ia tetap tidak mematahkan semangatnya.

"Produk murah mungkin nampak berbaloi, tetapi bila rosak susah cari barang ganti.

"Kami mahu pelanggan faham nilai kualiti, bukan sekadar harga," katanya.

Muhammad Shahril berkata, 2025 menjadi tahun bermakna apabila syarikatnya berjaya mengimport sebanyak 100 unit basikal elektrik secara sah tanpa sebarang isu.

Lebih membanggakannya, GreenScoot kini menarik minat pasaran antarabangsa seperti Brazil dan Nigeria.

Melalui penyertaannya dalam program Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025, ia membuktikan bahawa produk tempatan juga mampu menembusi pasaran global. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram