Pinjam duit ibu bapa jadi modal, remaja 19 tahun bergelar bilionair guna strategi bijak bangunkan Bolt


  • Bisnes
  • Khamis, 23 Okt 2025

Markus mengambil langkah berani menubuhkan perniagaan sejak usianya 19 tahun. — Agensi

PinKETIKA ramai remaja sibuk bermain permainan video atau meneroka hobi baharu, individu bernama Markus Villig memilih impiannya untuk menubuhkan perniagaan sendiri.

Seawal usia 19 tahun, Markus sudah membuat keputusan berani berhenti melanjutkan pengajiannya yang ketika itu baru semester satu dalam bidang Sains Komputer di Universiti Tartu, Estonia.

Dengan bantuan modal sebanyak RM25,000 (€5,000) yang dipinjam daripada ibu bapanya, beliau berjaya membuka syarikat permulaan dan platform penyedia kenderaan e-hailing terbesar di Eropah.

BACA LAGI: Wanita jangan keliru, peguam jelaskan nafkah bukan dalam bentuk wang tunai semata kecuali situasi tamlik

BACA LAGI: Bermula cuma 'order' 3 botol, Jus Asam Kunyit Rahsia Nenek gigih beroperasi dari ceruk dapur

Markus pengasas termuda sebuah syarikat berniali bilion ringgit di Eropah. — Agensi

Apa yang membezakan Markus bukan sekadar inovasi, tetapi cara pelaksanaannya.

Beliau menumpukan kepada penyelesaian masalah setempat, menawarkan komisen adil kepada pemandu serta mengutamakan kelestarian.

Syarikat yang ditubuhkan sebagai Taxify kemudiannya berkembang sebelum dijenamakan semula dengan nama Bolt.

Strategi itu membolehkan Bolt bersaing terus dengan gergasi dunia seperti Uber walaupun tanpa modal besar atau rangkaian dengan golongan elit.

Ia sekali gus menjadikan lelaki berusia 31 tahun itu pengasas termuda sebuah syarikat bernilai bilion ringgit di Eropah.

Kini, aplikasi Bolt tersedia di lebih 100 bandar merentasi 30 negara termasuk Malaysia dengan lebih 25 juta pelanggan dan setengah juta pemandu yang beroperasi seluruh dunia.

Markus mengakui bahawa idea perniagaannya muncul selepas mendapat inspirasi daripada kejayaan syarikat rangkaian komunikasi, Skype di Estonia pada 2004 sebelum dihentikan pada Mei 2025.

"Saya sedar bahawa teknologi adalah bidang di mana seseorang boleh memberi impak besar walaupun dengan pasukan kecil," katanya.

Aplikasi Bolt yang berjaya memasuki pasaran dunia termasuk Malaysia. — Agensi

Fokus

Walaupun minat terhadap aplikasi itu semakin tinggi, Markus kekal berdisiplin terutama dalam menguruskan kos dan kewangan.

Beliau mengelak daripada mengupah ramai orang atau melancarkan kempen pemasaran mahal yang lazim dilakukan syarikat permulaan lain.

Sebaliknya, pada peringkat awal, Markus turun ke jalanan sendiri di ibu kota Tallinn untuk merekrut pemandu teksi secara tidak langsung menjadi langkah yang melambangkan semangat keusahawanan sejati.

"Ini adalah industri yang menyaksikan pelanggan benar-benar mengambil berat jika mereka mendapat nilai yang berbaloi untuk wang mereka.

"Jadi, jika anda boleh menawarkan pelanggan harga 20 peratus lebih baik atau boleh memastikan pemandu mengambil lebih 20 peratus pada setiap perjalanan, maka itu benar-benar berpatutan," jelasnya.

Baginya, ia juga merupakan langkah strategi yang ternyata memberi hasil pada kejayaan perniagaannya.

Pemandu Bolt juga memperoleh lebih 10 peratus pendapatan tambahan secara purata berbanding platform e-hailing lain.

Pendekatan tersebut terus menjadikan Bolt bukan sekadar aplikasi mobiliti, tetapi ekosistem pengangkutan yang lebih adil, mampan dan menguntungkan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pemandu.

Strategi Markus berjaya menaikkan nama Bolt secara global. — Agensi

"Sebagai usahawan, anda akan mempunyai ribuan idea hebat dan mahu melaksanakan semuanya.

"Tetapi hakikatnya, anda hanya boleh melakukan beberapa perkara dengan betul-betul fokus," ujarnya.

Itulah sebabnya Bolt memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkhidmatan e-hailing untuk tempoh lima tahun pertama operasi.

Tumpuan ini juga membolehkan mereka memahami keperluan pengangkutan di peringkat tempatan dan memberi kelebihan buat Bolt berbanding pesaing lain.

Menurutnya, penjenamaan semula Taxify kepada Bolt dilaksanakan mencerminkan visi jangka panjang dalam sesebuah organinasi perniagaan.

Berbekalkan semangatnya, Markus cuba untuk memasuki pasaran London, United Kingdom (UK) yang dikenali sebagai paling kompetitif di dunia.

Usahanya bagaimanapun tidak berjaya selepas ditolak oleh pihak berkuasa Transport for London (TfL) kerana isu perlesenan.

Selepas beberapa kali percubaan dan penambahbaikan prosedur, Markus berjaya mendapatkan lesen perniagaan sah pada Jun 2019 dan melancarkan semula perkhidmatannya di ibu kota UK.

Menjelang 2023, Bolt sudah mempunyai 150 juta pengguna di seluruh dunia dengan 3,000 kakitangan tetap dan nilai syarikat lebih RM39 bilion (AS$8.4 bilion).

Daripada pemuda tanpa pengalaman, Markus kini menjadi ketua kepada empayar global. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram