USAHAWAN tudung terkenal, Haliza Maysuri mencuri tumpuan apabila membawa menantunya menyertai aktiviti kebajikan baru-baru ini.
Menerusi video dikongsikan di media sosialnya, tindakan tersebut bukan sahaja memberi pendedahan tentang kehidupan insan memerlukan, malah menjadi sesi pembelajaran bagi generasi baharu dalam keluarga beliau.
Menurut wanita berusia 47 tahun itu, inisiatif tersebut juga bertujuan menanam nilai keinsafan dan rasa tanggungjawab sosial dalam diri.
"Saya bawa menantu agar sentiasa beringat dalam kemewahan kita miliki.
"Kerana setiap rezeki ALLAH beri, ada hak orang lain perlu kita santuni.
"Kemewahan bukan untuk dibangga, tetapi dikongsi dan dimanfaatkan. Itulah erti sebenar bersyukur dan keberkatan hidup," katanya.
Dalam pada itu, Pengasas Bawal Exclusive (BE) berkenaan turut berkongsi harapan terhadap menantunya agar dapat meneruskan legasi tersebut.
Selain memberi sumbangan keperluan asas, menantunya turut diajar untuk mendalami kekurangan keluarga lain.
"Saya bawa Sarah agar dia boleh ambil alih tugas saya di Yayasan Bawal juga," katanya sambil menzahirkan rasa syukur atas peluang untuk mendidik menerusi aktiviti amal itu.
Langkah Haliza sekali gus menjadi pendekatan dan contoh terbaik dalam mendidik generasi muda agar tidak leka dengan kemewahan dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
