Persis di luar negara! Kampungstay Teluk Buih port 'healing' keluarga, boleh pancing ikan, berbasikal bersama anak


  • Bonda
  • Khamis, 23 Okt 2025

Kampungstay Teluk Buih menjanjikan pengalaman menarik buat penggemar suasana tenang dan aktiviti memancing bersama seisi keluarga.

SUASANA damai, deruan ombak dan udara laut segar, demikian pengalaman boleh diungkapkan penulis ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Kampungstay Teluk Buih, sebuah destinasi percutian keluarga yang terletak di Mersing, Johor.

Jauh daripada kesibukan bandar, lokasi ini menawarkan rasa escapism sebenar, seolah-olah berada di dalam taman bunga tepi laut yang indah dan tenang.

Menurut Mohd Asyraf, pengurus Kampungstay Teluk Buih, lokasi penginapan di situ diuruskan sepenuhnya oleh pihak perkhidmatan majlis di bawah Majlis Daerah Mersing.

BACA LAGI: Dari pulau ke stadium ikonik, Johor destinasi liburan mesra keluarga, gelongsor air terus ke laut pikat kanak-kanak!

BACA LAGI: Duduk pangsapuri pun boleh tanam padi, Desaru Fruit Farm cipta inovasi guna botol, semai minat pertanian anak muda

Jelasnya, konsep asal pembangunan resort itu diinspirasikan daripada perkampungan nelayan tradisional, namun selepas diolah semula menggunakan elemen binaan moden, sentuhannya menjadi lebih kemas dengan gaya English-British gaya kabin yang ringkas, bersih dan sedap mata memandang.

"Hasilnya, suasana kampung masih terasa tetapi lebih premium, teratur dan sesuai untuk percutian keluarga," ujarnya kepada Majoriti.

Mohd Asyraf (dua dari kiri) merupakan pengurus di Kampungstay Teluk Buih.

 

Penginapan berpatutan

Dari segi penginapan, Kampungstay Teluk Buih menyediakan dua jenis unit untuk dipilih mengikut keperluan pengunjung.

Bagi keluarga kecil, unit Twin Villa boleh memuatkan antara dua hingga empat orang dewasa, dengan kadar sewaan sekitar RM325 pada hari biasa dan RM385 pada hujung minggu.

Manakala untuk keluarga yang lebih besar, pilihan lebih sesuai ialah Villa yang menempatkan empat hingga enam orang dewasa.

Unit tersebut ditawarkan pada kadar RM425 pada hari biasa dan RM485 pada hujung minggu, sepadan dengan ruangnya yang lebih luas, selesa serta menawarkan privasi yang lebih baik untuk percutian bersama keluarga.

Dengan susun atur moden dan suasana yang tenang, kedua-dua jenis penginapan ini direka untuk memberikan keselesaan maksimum sama ada kunjungan singkat ataupun percutian keluarga yang lebih panjang.

 

Aktiviti berbasikal, jeti Ikan dan memancing 

Apa yang menjadikan Kampungstay Teluk Buih unik ialah suasananya yang hidup dengan aktiviti luar. Di sini, penulis sempat:

- Berbasikal mengelilingi kawasan kampung dan sepanjang pantai

- Memancing di jeti Teluk Buih dibuka hingga larut malam, sesuai untuk kaki pancing tegar atau aktiviti santai bersama anak

- Menikmati pemandangan laut hanya beberapa langkah dari unit penginapan

Basikal turut disediakan untuk disewa dan jeti tersebut dibuka pada umum, menjadikan aktiviti memancing lebih meriah kerana boleh dilakukan beramai-ramai seisi keluarga.

Bayangkan duduk di hujung jeti, langit malam terbentang sambil menunggu umpan disambar, itulah erti healing yang sebenar!

Bagi anda yang mencari pusat hiburan, ini bukan tempatnya, namun bagi mereka yang gemarkan suasana tenang dan aktiviti riadah, Kampungstay Teluk Buih ialah lokasi ideal.

Di sini, pengunjung akan lebih banyak meluangkan masa berbual, berbasikal, memancing dan menikmati alam, bukan sekadar berkurung dalam bilik berhawa dingin seperti kebiasaan.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram