WALAUPUN berasal daripada keluarga sederhana dan membesar dengan hasil pendapatan daripada menoreh getah, namun Isai Amutan Krishnan mampu membuktikan bahawa latar belakang bukanlah penghalang untuknya mencapai kejayaan.
Bagi Isai, status keluarga tidak menjadi masalah untuknya terus menimba ilmu sehingga ke menara gading.
Buktinya, Isai kini berjaya menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.
BACA LAGI: Data MyKad 17 juta rakyat Malaysia didakwa bocor, dijual di 'dark web'
BACA LAGI: Hukuman sebat duda 3 kali khalwat di Terengganu digantung sementara
Gambar kenangan yang diambil Isai di ladang getah tempat kedua ibu bapanya mencari rezeki membesarkan keluarganya.
Dia yang juga bekerja sebagai pensyarah Fakulti Seni Liberal, Kemanusiaan dan Budaya di Universiti Perdana, Kuala Lumpur.
Bercerita kembali tentang kesukaran dan cabaran yang pernah dihadapinya sebelum berjaya, Isai berkata, kehidupannya bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
"Saya dibesarkan dalam keluarga penoreh getah, dikelilingi oleh pokok getah, sawit, dan kehidupan yang sederhana di ladang.
"Sejak usia 13 tahun saya sudah mula buat kerja separuh masa bekerja separuh masa sebagai guru tusyen di rumah-rumah jiran walaupun hanya dapat RM10 atau RM5 sebulan.
"Saya mengajar pun bukan untuk wang, tetapi sebab minat mendalam saya terhadap bidang pendidikan," katanya kepada Majoriti.
Meskipun akses pendidikan sedikit terhad, semangat Isai untuk belajar tidak pernah pudar.
Anak kelahiran Kuala Ketil, Kedah itu juga sanggup bekerja keras untuk mendapatkan peluang menyambung pengajian ke peringkat universiti selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Demi meringankan beban keluarganya, Isai juga pernah bekerja di restoran sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran untuk mendapatkan wang poket.
Isai merupakan lepasan graduan PhD di UPSI.
Menurutnya, pengalaman berharga itu mengajarnya tentang nilai usaha, kegigihan dan kesabaran sebelum mengecapi kejayaan.
Ditanya pula tentang memori dan peristiwa yang tidak dapat dilupakan, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, perjalanan sepanjang melanjutkan PhD antara yang mencabar.
"Momen paling saya tak boleh lupa adalah apabila satu daripada chapter ditolak oleh penyelia.
"Ketika itu, saya rasa seperti tidak mahu lagi teruskan kajian PhD dan ambil keputusan untuk rehat selama sebulan di Australia dan United Kingdom.
"Di sana, saya banyak belajar, ambil motivasi daripada rakan-rakan yang lain sebelum pulang ke Malaysia dan tamatkan pengajian dengan jayanya pada 2023," katanya.
Berdasarkan kajiannya berhubung penggunaan kecekapan bahasa oleh graduan di Malaysia.
Katanya, kajian itu juga melibatkan kecekapan menggunakan tatabahasa yang sekali gus menjadi punca kepada peningkatan jumlah pengangguran lepasan graduan.
Isai kini bekerja sebagai pensyarah di Universiti Perdana, Kuala Lumpur.
Isai berkata, kebanyakan graduan Malaysia kurang berkemahiran dalam pembinaan ayat dan penggunaan tatabahasa yang kompleks.
"Bukan itu sahaja, kebanyakan mereka tak gemar untuk bertanya soalan seperti ketika ditemu bual," katanya.
Isai pada masa sama menasihati orang ramai terutama generasi muda kini untuk tidak mudah berputus asa dalam mendapatkan akses pendidikan.
"Daripada pemerhatian saya sekarang, ramai anak-anak muda mahukan hidup yang senang.
"Tetapi, apa yang saya boleh ingatkan bahawa semudah mana pun ia, tanpa pendidikan mereka tidak akan bertahan.
"Jadi, teruskan belajar walau berapa pun usia kita. Cuma jangan paksa diri, belajar perkara yang kita minat," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram