
BUKAN semua rumah tangga dibina atas dasar kemewahan dan persamaan darjat.
Bagi Nur Syereena Nojumuddin, bahagia hadir selepas beliau sanggup menukar gaya hidup demi menyesuaikan diri dengan kemampuan suami yang berasal daripada latar keluarga sederhana.
Berkongsi detik awal pengenalan dengan suami satu ketika dahulu, ibu kepada tiga cahaya mata itu menjelaskan pasangannya lahir daripada keluarga beragama dan warak manakala dirinya pula terbiasa dengan kehidupan mewah di bandar.
BACA LAGI: 'Zaman sekarang perempuan serba boleh', ibu dorong anak ceburi sukan motocross seawal usia 5 tahun
Perbezaan latar belakang itu menyebabkan segelintir masyarakat dan rakan-rakannya memandang serong, malah menggelar mereka seperti enggang dan pipit.
Malah, ketika hubungan mereka diketahui pensyarah dan kenalan, ada yang meragui masa depan perkahwinan bakal dibina hanya kerana jurang gaya hidup.
"Supervisor suami pernah tanya, awak tahu dia siapa? Dia pakai kereta apa? Orang sekeliling kata kami tak sekufu, saya pula pernah terfikir nak undur diri," katanya di laman Threads.
Usai berkahwin, perjalanan hidupnya jauh berbeza dan berubah berdasarkan kemampuan suaminya.
Dari jenama mewah, restoran eksklusif dan gaya hidup bandar, Syereena belajar hidup ringkas dengan beli pakaian hanya ketika musim perayaan, tukar solekan mahal kepada jenama tempatan dan makan di warung seperti orang kebanyakan.
Namun baginya, semua itu bukan pengorbanan sia-sia kerana kehidupannya bertambah ceria dan bahagia.
"Saya bangga boleh solat berimamkan bapa mentua, dulu jarang mengaji, sekarang hari-hari, bahagia rupa-rupanya bukan tentang beg jenama mewah atau solekan mahal, tapi hati yang tenang.
"Macam mana nak maintain bersyukur? Fikir kebaikan suami, dia tak pernah naik suara atau naik tangan, jaga hati saya merajuk dia mengalah pujuk, hati senang dan bahagia pun dah patut syukur kan," ujarnya.
Lebih sedekad membina kehidupan bersama, kedudukan suaminya kini jauh lebih baik dari awal pernikahan selepas beberapa kali dinaikkan pangkat di pejabat.
"Dulu orang cakap enggang dan pipit, sekarang suami bukan lagi pipit, bukan juga enggang, dia helang, saya pula nak jadi merak sebab perempuan tak pernah kalah," katanya berseloroh.
Dalam dunia yang sering mengukur kebahagian dengan kemewahan, pasangan ini membuktikan bahawa kesederhanaan mampu menjadikan hidup jauh lebih stabil, matang dan bahagia.
Keharmonian rumah tangga bukan bergantung kepada apa yang dipakai atau dimiliki, tetapi ia berpandukan pada tujuan sesebuah mahligai dibina yang akhirnya menuju kehidupan yang lebih sejahtera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram