
SETIAP pasangan ada cara tersendiri dalam mengekalkan kemanisan dalam rumah tangga.
Bagi pelakon Uqasha Senrose, kekuatan rumah tangganya bersama Kamal Adli tidak terletak pada kesempurnaan, tetapi pada usaha yang tidak pernah putus dalam menjaga hati antara satu sama lain.
“Dia seorang penyayang, romantik dan manja. Walaupun kadang-kadang ego, tapi dia tahu cara nak pujuk. Itu membuatkan saya rasa dia pasangan tepat,” kata Uqasha kepada Majoriti mengenai ciri paling istimewa dimiliki suaminya.
Lebih manis, setiap kali berlaku perselisihan faham, Kamal, 39, akan mengalah dan memujuk terlebih dahulu iaitu sesuatu sangat dihargai Uqasha dalam membina hubungan matang.
“Kalau kami bergaduh, dia yang akan pujuk saya dulu,” ujarnya lanjut.
Pengorbanan ibu
Namun, di sebalik kesibukan mengurus rumah tangga, Uqasha mengakui perjalanan bergelar ibu dan anak seni bukanlah mudah.
Salah satu pengorbanan dianggap paling besar pernah dilakukannya apabila terpaksa meninggalkan anak yang masih kecil demi menjalani penggambaran filem Munajiim: Sekutu Iblis.
“Waktu itu saya baru habis berpantang lima bulan. Tapi cabar diri untuk mengetahui mampu atau tak melakonkan watak berat.
"Tapi waktu berpantang, saya memang berpantang betul-betul. Saya ikut cara tradisional iaitu pakai barut, jaga pantang makan dan tak minum air sejuk sepanjang 40 hari," ceritanya lagi.
Meninggalkan anak walau seketika demi tanggungjawab kerja adalah satu keputusan yang berat, namun bagi Uqasha, itu juga bukti kasih seorang ibu ingin memberikan terbaik untuk keluarga dan kerjaya.
Justeru, dalam setiap cabaran sebagai pelakon, beliau sentiasa memikirkan keluarganya sebagai sumber kekuatan.
Walaupun jadual seni kadangkala padat dan meletihkan, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata, beliau dan Kamal tetap berusaha menjaga keseimbangan antara kerjaya dan rumah tangga.
Wanita berusia 33 tahun itu percaya, kebahagiaan tidak datang dengan sendirinya, sebaliknya ia perlu diusahakan bersama.
“Kami tahu tanggungjawab masing-masing. Kalau rasa hubungan tu makin renggang, kami akan duduk dan fikir, apa yang boleh kami buat untuk dekat semula,” katanya.
Uqasha berkata, antara rutin ringkas, tetapi bermakna termasuk meluangkan masa bersama anak, biarpun hanya di rumah.
"Kalau rasa down, kita terus wujudkan spark dengan melakukan aktiviti bersama. Contohnya menonton filem dan masak bersama. Itulah cara Uqasha kekalkan sepakatan dalam rumah tangga," tuturnya sambil tersenyum.
Untuk rekod, Uqasha dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam majlis akad nikah tertutup di Janda Baik, Pahang.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Hawra Uqaira, 1, yang menjadi pelengkap dalam kisah cinta pasangan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram