Graduan UiTM jual aiskrim gula apong sampai tembusi pasaran Istanbul


  • Bizz
  • Ahad, 15 Sep 2024

Siti Fatimah (gambar kiri) berkata, idea untuk mengasaskan Mokti's Ice Cream bermula selepas dia terpikat menikmati aiskrim berkenaan selama dua tahun menetap di Bintulu, Sarawak.

NAMA Mokti’s Ice Cream mencipta fenomena pada tahun lalu selepas produk aiskrim buatan negara itu berjaya menembusi pasaran di luar negara apabila ia diperkenalkan di bandar Istanbul, Turkiye.

Lebih membanggakan, jenama aiskrim tersebut kini turut diletakkan berada dalam kedudukan sebagai peneraju artisanal gelato Muslim pertama di Malaysia.

Ia menawarkan lebih 40 jenis artisanal gelato tanpa pengawet, tanpa pewarna tiruan dan perasa tiruan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Tidak cukup dengan itu, produk Mokti’s Ice Cream juga terus laris dan kukuh di pasaran sehingga berjaya membuka 93 cawangan di seluruh negara sejak mula beroperasi sekitar 2020.

Signatur kemanisannya terletak pada formula menggunakan 99 peratus gula apong asli.

332753483_509411038037335_3404041327316376478_n

Mokti’s Turkiye yang beroperasi secara di Luleci Hendek Cad. Hacımimi Mah, Istanbul. — Mokti's Malaysia

Gula apong adalah produk gula dibuat daripada nira nipah yang popular di Sarawak.

Pengasas dan Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn. Bhd., Siti Fatimah Adnan berkata, bukan mudah untuk mencuri tumpuan masyarakat Turkiye menerima produk luar memandangkan negara itu sendiri mempunyai ratusan budaya dan makanan tradisional.

Ujar usahawan berusia 32 tahun itu, Mokti’s Turkiye beroperasi secara rasmi di Luleci Hendek Cad. Hacımimi Mah, Istanbul dan mendapat sambutan positif.

“Di sana, masyarakat Turkiye lebih gemar mengekalkan tradisi sendiri. Jadi bagi memenuhi kehendak pasaran di negara tersebut saya perlu menonjolkan kelainan yang menepati cita rasa tempatan.

“Justeru, cawangan kedai pertama di Istanbul kami menyediakan pilihan menu berasaskan gelato disebabkan aiskrim biasa tidak mendapat sambutan. Maka, solusi pilihan ideal perisa gula apong, panda dan durian diperkenalkan,” jelasnya yang turut teruja mempromosikan aiskrim buatan Malaysia di Istanbul yang merupakan antara pelabuhan terbesar dunia.

Mengimbas kembali perjalanan perniagaan aiskrim berasaskan gula apong yang diusahakan bersama suami, Pengiran Muhammad ‘Adil Awang Iskanderndzulkarnein, Siti Fatimah berkata, semuanya bermula selepas dia terpikat menikmati aiskrim berkenaan selama dua tahun menetap di Bintulu, Sarawak.

Menurut Siti Fatimah, apabila pulang ke kampung halaman di Perlis pada 2014, kesukaran mencari aiskrim gula apong rasa manis, berlemak dan beraroma mendorong dirinya proaktif mempelajari teknik menghasilkan manisan sejuk itu.

Aiskrim kon RM1

452794948_990580193078148_7531182757069184752_n

Signatur kemanisan aiskrim keluaran Mokti's Ice Cream terletak pada formula menggunakan 99 peratus gula apong asli. — Mokti's Malaysia

Jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan, Sarawak itu, fasa awal beliau memberanikan diri menjual aiskrim kon serendah RM1 di sekitar taman rekreasi di Perlis.

“Dengan bantuan adik-beradik, saya mula berniaga aiskrim secara kecil-kecilan dari but kereta sambil membunyikan loceng untuk menarik perhatian pelanggan.

“Di luar jangkaan hari demi hari semakin ramai pelanggan datang membeli aiskrim scoop gula apong kami. Bermula di taman rekreasi peringkat seterusnya diundang menjual pada majlis keramaian sehingga berjaya membuka kedai berskala kecil.

“Ketika itu aiskrim ini belum dijenamakan. Sebagai permulaan saya jual soft ice cream pada harga RM2 secawan,” kata ibu kepada tiga cahaya mata tersebut dalam nada teruja.

Mengulas lanjut, Siti Fatimah menjelaskan pembukaan kedai kecil hanya bertujuan memperkenalkan keenakan aiskrim gula apong kepada masyarakat setempat.

Strategi perniagaan berkonsepkan kedai kecil di lokasi tumpuan ramai membuahkan hasil apabila aiskrim home-made itu mendapat sambutan menggalakkan.

“Aiskrim Mokti’s tidak mengandungi gula putih, sebaliknya diperbuat daripada 95 peratus gula apong dari Sarawak dan lima peratus susu bagi mengekalkan keaslian juadah Bumi Kenyalang.

“Kami juga tidak menggunakan perasa vanila seperti aiskrim lain hanya gula apong dan susu,” katanya yang turut menyasarkan bagi memulakan konsep francais.

441958943_949027813900053_6133469605167330315_n

Antara produk aiskrim keluaran Mokti's Ice Cream. — Mokti's Malaysia

Pada tahun sama, bermodalkan keuntungan daripada kedai perintis itu, Siti Fatimah mengembangkan perniagaan secara berperingkat ke negeri lain antaranya Kedah, Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kini kami mempunyai enam kilang pembuatan aiskrim mengikut kategori masing-masing termasuk aiskrim batang, gelato dan tepung aiskrim sebelum diedarkan ke cawangan seluruh negara.

“Kami juga menggunakan perkhidmatan logistik sendiri untuk memastikan produk dihantar menepati kualiti ditetapkan.

“Bukan itu sahaja, produk kami mempunyai sijil pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kelulusan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI),” jelasnya.

Selain itu, Mokti’s Ice Cream pernah mendapat penganugerahan antaranya The Brandlaureate The World Best Brands (Bumiputera) 2022, The Brandlaureate The World SME’s Best Brands 2022 dan International Women’s Day Outstanding Young Woman Entrepreneur Award 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram