Demam denggi tak halang Aleesya duduki IGCSE, tamat 'exam' Engku Emran segera bawa semula ke hospital


  • Bonda
  • Isnin, 20 Okt 2025

Aleesya tetap cekal menduduki peperiksaan akhir IGCSE walaupun diserang demam denggi sebelum ini.

ANAK kepada selebriti, Erra Fazira dan bekas suami, Engku Emran, mempamerkan semangat luar biasa apabila tetap menduduki kertas peperiksaan akhir International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) walaupun sedang menghidap demam denggi.

Menerusi perkongsian dimuat naik Engku di laman Instagram, tahap kesihatan anak perempuannya itu mula merosot akibat serangan denggi sekitar Mei lalu dan doktor difahamkan mahu menahannya di hospital memandangkan suhu badan paras membimbangkan.

Namun, selepas berbincang, Engku Emran dengan pihak doktor sepakat untuk memberi peluang kepada anaknya menamatkan kertas terakhir IGCSE pada keesokan hari.

BACA LAGI: 'Zaman sekarang perempuan serba boleh', ibu dorong anak ceburi sukan motocross seawal usia 5 tahun

BACA LAGI: [VIDEO] 'Serai, cili padi pun ada', terhibur gelagat Janna Nick, suami beli barang dapur bajet RM200 di London

"Saya terpaksa menandatangani surat akuan dan berjanji dengan doktor untuk membawanya semula ke hospital sebaik sahaja peperiksaan tamat," katanya.

Dalam pada itu, pihak sekolah turut dimaklumkan berhubung perkara tersebut dan Aleesya disediakan sebuah bilik khas dilengkapi sofa bagi membolehkan pelajar itu berehat sekiranya mengalami sakit kepala ketika menjawab soalan.

"Saya menunggu dengan sabar di luar, berdoa tanpa henti agar ALLAH meringankan kesakitannya supaya dapat menjawab kertas itu dengan baik.

"Tetapi lebih penting saya sentiasa berada di sana dan bersiap sedia untuk membawa ke hospital terdekat sekiranya memerlukan rawatan perubatan segera," tambahnya.

Usai tamat menduduki peperiksaan, remaja itu terus dikejarkan semula ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menganggap ia sebagai dugaan perlu dihadapi, Engku menitip nasihat buat anaknya agar terus berjuang dan tidak putus asa sekiranya berdepan cabaran berat pada masa akan datang.

Terdahulu, Engku dan Erra masing-masing berkongsi kegembiraan apabila Aleesya terpilih sebagai pelajar cemerlang di sekolah dengan keputusan gred A+ dalam subjek First English Language, Matematik, Fizik dan A bagi subjek Biologi, Sosiologi, Bahasa Malaysia dan Psikologi.

Sekadar info, IGCSE adalah program akademik yang setara dengan O-Level dan menjadi salah satu syarat penting untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti A-Level, IB Diploma atau terus ke universiti luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram