[VIDEO] Dari serpihan runtuhan, penduduk Gaza kutip, bina semula dapur dan ruang kecil rumah


  • Hias
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Penduduk Gaza membina semula ruang dapur kediaman mereka menggunakan serpihan runtuhan yang tersisa.

DI sebalik kemusnahan dan kesengsaraan berlarutan, penduduk Gaza terus membuktikan ketabahan luar biasa dengan membina semula ruang kehidupan menggunakan serpihan runtuhan yang tersisa.

Perkara itu dikongsikan seorang penduduk di negara 'tembikai' menerusi hantaran di Instagram milik moayed.harazen pada Ahad lalu.

Dalam video berkenaan, sekumpulan penduduk dilihat bekerjasama menyiapkan sebuah dapur kecil.

BACA LAGI: [VIDEO] 20 tahun dipenjara Zionis, bapa bertemu anak OKU buat kali pertama

BACA LAGI: Misi Flotilla diteruskan, kenali 5 Srikandi Malaysia berjuang di laut Gaza

Ada memotong papan dengan gergaji, memaku kepingan kayu dan memasang sinki, semuanya hasil bahan yang dikutip daripada sisa-sisa bangunan musnah.

Bahagian awal video menunjukkan keadaan rumah yang penuh dengan timbunan batu dan serpihan konkrit, lalu berubah menjadi ruang dapur kecil bersih, tersusun dan mampu digunakan semula.

“Dari runtuhan, kami cuba untuk bangkit semula. Langkah pertama, membina semula dapur,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Bagaimanapun difahamkan, video itu dirakam ketika mereka baru pulang ke rumah selepas setahun setengah berpindah ke selatan, sebelum kembali sekali lagi menjadi pelarian.

“Disebabkan terlalu sayang akan rumah, kami cuba menghidupkannya semula dan menjadikan lebih indah walaupun sebahagian besar daripadanya telah musnah.

“Kami berusaha sedaya upaya untuk menyembuhkan luka yang ada, namun malangnya kini kami terpaksa berpindah sekali lagi,” katanya.

Moayed menambah, beliau kini tidak pasti sama ada rumah yang mereka usahakan itu masih berdiri atau telah dirobohkan seperti banyak rumah lain di Gaza.

Menurutnya, usaha untuk kembali ke rumah sendiri tidak kesampaian kerana kawasan berkenaan masih dikuasai rejim Zionis.

“Hari ini, kami hidup di antara runtuhan. Saya masih tinggal di dalam khemah."

Meski begitu, beliau tetap menyimpan harapan agar keadaan akan berubah dan tentera berundur tidak lama lagi supaya dapat menjejakkan kaki semula ke tanah yang pernah dipanggil ‘rumah’.

“Saya berharap mereka akan berundur segera supaya kami boleh pulang dan melihat rumah.

"Saya berdoa agar rumah tersebut masih berdiri walaupun hanya tinggal runtuhan, saya akan membersihkannya semula dan tinggal di situ sekali lagi,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram