
MEREKA bukan doktor perubatan, bukan juga penyelidik berpengalaman.
Namun, dua wanita muda, Zoey Chan dan Gunika Jain membuktikan bahawa empati dan daya cipta mampu menyelamatkan nyawa.
Kedua-dua graduan reka bentuk itu mencipta inovasi membantu pengesanan awal dan pengurusan penyakit serius yang menjejaskan jutaan manusia di seluruh dunia, iaitu diabetes jenis satu dan kanser serviks.
BACA LAGI: Niat nak mudahkan kerja mak-mak moden, bekas jurutera bangunkan jenama minuman herba bentuk kiub
Zoey, 23, memperkenalkan Neat Insulin Daily Organiser (Nido), alat pengatur insulin mudah alih bersaiz poket yang memudahkan pesakit diabetes menyuntik insulin dengan lebih selamat dan teratur.
Sementara itu, Gunika, 21, pula mencipta Chhavi, kit ujian kendiri virus papilloma manusia (HPV) yang membolehkan wanita di kawasan luar bandar melakukan saringan kanser serviks secara peribadi di rumah.
Kejayaan kedua-duanya mendapat pengiktirafan menerusi pertandingan reka bentuk antarabangsa yang meraikan ciptaan berasaskan penyelesaian masalah, James Dyson Award 2025.
Zoey dinobatkan sebagai pemenang peringkat kebangsaan manakala Gunika menjadi naib juara kebangsaan.
Sebagai pemenang, Zoey menerima hadiah tunai 8,400 dolar Singapura (RM27,300) untuk memperkukuh projeknya.
Kedua-dua mereka turut berpeluang disenarai pendek ke peringkat Global Top 20 pada 15 Oktober sebelum pemenang utama diumumkan pada 5 November ini.
Zoey ingin memudahkan proses suntikan insulin agar boleh dilakukan di ruang sempit seperti tandas, atau ketika berada di luar. — James Dyson Award 2025
Pengalaman peribadi
Inovasi Zoey bermula daripada perjuangan peribadinya apabila tiga tahun lalu, beliau disahkan menghidap diabetes jenis satu pada usia 20 tahun.
“Pada mulanya saya menafikan keadaan diri. Sukar nak jelaskan kenapa saya cuti seminggu dan balik ke sekolah sebagai pesakit diabetes. Saya rasa sangat malu,” katanya.
Beliau sering menyuntik insulin secara rahsia di tandas kerana tidak mahu dilihat sebagai orang sakit.
Daripada situ, tercetus idea Nido, alat kecil dengan ruang khas untuk empat jarum, direka agar pengguna boleh menyuntik insulin di mana sahaja tanpa risiko tercucuk atau terjatuh.
Bagi Gunika pula, perjalanan inovasinya bermula setelah mendapati bahawa setiap lapan minit, seorang wanita di India meninggal akibat kanser serviks.
Ramai wanita di luar bandar enggan menjalani saringan kerana stigma sosial dan kepercayaan karut.
“Di luar bandar India, kalau seseorang menghidap kanser serviks, ramai percaya dia dirasuk roh jahat dan dibawa ke kuil untuk ‘diubati’,” ujarnya.
Gunika mereka cipta kit ujian kendiri yang mudah dan tertutup bagi mengesan virus HPV untuk wanita di kawasan luar bandar India. — James Dyson Award 2025
Hasil temu bual dengan petugas kesihatan dan pakar perubatan, Gunika mencipta Chhavi, yang membolehkan wanita mengambil sampel sel sendiri dengan kapas dan mendapat keputusan dalam beberapa minit, seperti ujian kehamilan.
Walaupun kedua-dua ciptaan masih peringkat prototaip, Zoey dan Gunika sudah menjadi suara advokasi kesihatan dalam komuniti masing-masing.
Zoey berharap, masyarakat lebih memahami bahawa diabetes jenis satu bukan berpunca daripada gaya hidup tidak sihat, sebaliknya keadaan genetik yang memerlukan empati dan kefahaman.
Gunika pula berazam menormalkan perbualan tentang kesihatan wanita, termasuk isu-isu sensitif seperti kanser serviks dan sindrom ovari polisistik (PCOS).
“Kesihatan wanita sering diabaikan tapi bagi saya, tubuh setiap orang sama pentingnya,” kata Gunika.
Kedua-dua mereka membuktikan bahawa reka bentuk bukan sekadar seni, sebaliknya ia mampu menjadi alat perubahan sosial dan penyelamat nyawa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram