[VIDEO] Macam filem Bollywood '3 Idiots', lelaki sambut bayi lahir melalui panggilan video di stesen kereta api


  • Bonda
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Vikas berjaya mengendalikan keadaan dengan tenang selama kira-kira 45 minit sebelum bantuan tiba. — Agensi

SEORANG lelaki muda menjadi wira tidak diduga selepas membantu seorang wanita hamil melahirkan bayi di Stesen Kereta Api Ram Mandir, Uttar Pradesh, India.

Menariknya, tindakan itu dibuat hanya berpandukan arahan daripada seorang doktor melalui panggilan video.

Insiden luar biasa itu berlaku pada Rabu malam lalu sewaktu Vikas Dilip Bedre, dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari serpihan runtuhan, penduduk Gaza kutip, bina semula dapur dan ruang kecil rumah

BACA LAGI: [VIDEO] 20 tahun dipenjara Zionis, bapa bertemu anak OKU buat kali pertama

Beliau kemudian ternampak seorang wanita dalam kesakitan di gerabak bersebelahan ketika tren tempatan dinaikinya menghampiri stesen tersebut.

Tanpa berlengah, Vikas menarik rantai pemegang kecemasan bagi memberhentikan tren supaya wanita itu boleh mendapatkan bantuan.

Namun, sebaik turun ke platform, beliau mendapati tiada bantuan perubatan atau ambulans disediakan di lokasi berkenaan.

Enggan berputus asa, Vikas segera menghubungi rakannya, Dr. Devika Deshmukh, untuk meminta panduan.

Melalui panggilan video WhatsApp, beliau menunjukkan keadaan wanita itu dan Dr. Devika mula membimbing langkah demi langkah bagi membantu proses kelahiran.

Walaupun tanpa sebarang peralatan perubatan, sarung tangan mahupun kemudahan asas, Vikas tetap tenang mengikuti setiap arahan yang diberikan.

Dr. Devika mengajarnya cara menyokong kepala bayi dengan lembut, membantu proses kelahiran dengan selamat dan cara mengurus serta memotong tali pusat dengan betul.

Beliau turut menasihati Vikas agar meletakkan bayi di dada ibunya sejurus selepas kelahiran bagi memastikan kehangatan dan mengukuhkan ikatan awal antara ibu dan anak.

Dalam suasana stesen yang sibuk dan serba kekurangan, Vikas berjaya mengendalikan keadaan dengan tenang selama kira-kira 45 minit sebelum bantuan tiba.

Babak dramatik memperlihatkan watak Rancho (lakonan Aamir Khan) dan rakan-rakan menggunakan penyedut vakum yang diubah suai menjadi alat bantuan kelahiran. — Agensi

Menurut laporan media tempatan, wanita itu selamat melahirkan bayi lelaki dan kedua-duanya berada dalam keadaan baik.

Vikas berkata, beliau akan menyesal sepanjang hayat jika tidak membantu wanita berkenaan.

“Ia soal dua nyawa. Saya kumpulkan keberanian dan lakukan apa yang perlu,” katanya.

Beliau turut menyeru agar kemudahan perubatan asas disediakan di setiap stesen kereta api, memandangkan situasi kecemasan boleh berlaku tanpa amaran.

Situasi luar biasa yang berlaku di stesen kereta api itu mengingatkan ramai kepada babak ikonik dalam filem Bollywood popular 3 Idiots (2009) lakonan Aamir Khan dan Kareena Kapoor.

Dalam filem arahan Rajkumar Hirani itu, Aamir Khan memegang watak sebagai Rancho, pelajar kejuruteraan yang bijak dan kreatif membantu menyambut kelahiran bayi kepada kakak Pia (lakonan Kareena Kapoor), hanya berpandukan arahan doktor melalui panggilan video.

Babak dramatik itu memperlihatkan Rancho dan rakan-rakannya menggunakan alatan kejuruteraan termasuk penyedut vakum yang diubah suai menjadi alat bantuan kelahiran, selepas wanita berkenaan tidak dapat dibawa ke hospital akibat banjir dan gangguan elektrik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram