Dari dunia fesyen ke sukan bola sepak, Madam Pang terus ukir nama dalam sejarah Thailand


  • Sukses
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Walaupun cita-cita asal untuk menjadi guru tidak kesampaian, semangat Madam Pang terhadap pendidikan kekal kukuh. — Agensi

NUALPHAN Lamsam, pewaris kepada salah satu keluarga terkaya di Thailand, pernah bercita-cita menjadi seorang guru ketika kecil.

Namun, takdir membawa wanita dikenali sebagai Madam Pang itu ke pentas lebih besar iaitu dunia barangan mewah dan bola sepak sehingga beliau kini menjadi antara figura paling berpengaruh di Asia Tenggara.

Berusia 59 tahun, Madam Pang merupakan generasi kelima keluarga Lamsam, yang disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai keluarga ke-37 terkaya di Thailand dengan nilai kekayaan mencecah Amerika Syarikat (AS)$890 juta (kira-kira RM3.7 bilion) pada Julai lalu.

BACA LAGI: Dulu masuk hutan pun tak pernah, kini hampir 10 tahun veterinar asal Sandakan 'gadai' tenaga rawat haiwan liar

BACA LAGI: Niat nak mudahkan kerja mak-mak moden, bekas jurutera bangunkan jenama minuman herba bentuk kiub

Keluarga Lamsam terkenal sebagai pengasas Kasikornbank (KBank), salah satu institusi kewangan terbesar negara itu, selain memiliki pegangan besar dalam syarikat insurans utama seperti Phatra Insurance, Muang Thai Insurance dan Muang Thai Life Assurance.

Sejak kecil, Madam Pang meminati bidang pendidikan, terinspirasi oleh kebolehannya membaca pantas dan menguasai matematik.

Namun, beliau memilih haluan berbeza, menamatkan pengajian dalam bidang pemasaran di Universiti Chulalongkorn, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana pengurusan di Universiti Boston, AS.

Sebagai peminat setia Hermes, Madam Pang suka membeli-belah dan berbelanja untuk jenama tersebut. — Agensi

Kecintaannya terhadap dunia fesyen mendorong beliau menubuhkan pengedar rasmi jenama mewah Hermes di Thailand, Saint Honore (Bangkok) pada 1997.

“Sebagai peminat setia Hermes sejak dahulu, saya suka membeli-belah dan berbelanja untuk jenama tersebut,” katanya dalam satu temu bual.

Selain itu, beliau turut menjadi rakan kongsi pengedar rasmi kenderaan mewah Audi di Thailand, Meister Technik.

Kemudian pada 2002, beliau menyertai Muang Thai Insurance, yang mana kini beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengarah syarikat.

Inspirasi bapa

Madam Pang yang mendirikan rumah tangga keduanya dengan Colonel Sawettanan, 64, dikenali kerana kebolehan menyusun strategi dan menempatkan 'orang tepat di tempat betul'.

Beliau sering mengaitkan gaya kepimpinannya dengan ajaran bapa yang menekankan pentingnya membina hubungan berdasarkan kepercayaan dan empati.

“Kalau kita mahu menambat hati orang lain sama ada rakan sekerja, pelanggan atau rakan kongsi, kita mesti terlebih dahulu membuka hati kepada mereka,” jelasnya.

Beliau percaya bahawa kebahagiaan pekerja menjadi asas pada kesetiaan dan kejayaan jangka panjang dalam organisasi.

Madam Pang sering mengaitkan gaya kepimpinannya dengan ajaran bapa beliau. — Agensi

Presiden bola sepak

Walaupun tidak pernah bermain bola sepak secara profesional, minat mendalam terhadap sukan itu menjadikan Madam Pang antara figura paling dihormati dalam dunia bola sepak Thailand.

Kerjayanya bermula pada 2006 apabila dilantik sebagai pengurus pasukan bagi Persatuan Sukan Kecacatan Intelektual Thailand.

Tiga tahun kemudian, beliau mengetuai pasukan bola sepak wanita Thailand, membawa skuad itu menjulang pingat emas Sukan SEA 2013 dan layak ke Piala Dunia Wanita FIFA 2015 serta 2019, dua kali berturut-turut.

Pada 2015, beliau mengambil alih kelab Port FC, memimpin mereka menjuarai Piala FA Thailand 2019 dan menjadi antara pasukan elit dalam Liga Thailand.

Kejayaannya menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), yang melantik beliau sebagai pengurus pasukan lelaki kebangsaan pada 2021.

Sepanjang dua tahun setengah menerajui skuad itu, beliau membelanjakan hampir 60 juta baht (RM7 juta) daripada wang sendiri dan membawa Thailand menjuarai Piala AFF (kini Piala ASEAN) dua tahun berturut-turut (2020 dan 2022).

Tahun berikutnya, beliau melangkah lebih jauh apabila menang besar dalam pemilihan presiden FAT dengan 68 daripada 73 undi, sekali gus menjadi presiden wanita pertama dalam sejarah badan itu.

Madam Pang (kiri) mendirikan rumah tangga kedua dengan Sawettanan pada 2014.

Dedikasi terhadap pendidikan dan kebajikan

Walaupun cita-cita asalnya untuk menjadi guru tidak kesampaian, semangatnya terhadap pendidikan kekal kukuh.

Melalui Madam Pang Foundation, beliau komited mempertingkatkan kualiti pendidikan dan kehidupan kanak-kanak luar bandar.

Sebagai Duta Kebangsaan UNICEF Thailand, beliau menegaskan, pendidikan adalah tonggak utama untuk membangunkan generasi masa depan negara.

Beliau pada 2022 turut melancarkan pertandingan Madam Cup, platform yang menghargai dan mencungkil bakat muda dalam sukan bola sepak.

Pada 16 Oktober 2025, Madam Pang sekali lagi mengharumkan nama Thailand apabila menerima Anugerah Ahli Gabungan AFC Tahunan (Diamond Award) di Riyadh, Arab Saudi.

Penganugerahan itu menyaksikan Thailand kali kedua berturut-turut meraih pengiktirafan berprestij itu selepas kejayaan pertama pada 2024.

Kemenangan itu menjadikan Thailand negara pertama dalam sejarah menerima kategori Diamond dua kali berturut-turut, mengatasi pencabar utama seperti China dan Vietnam.

Sebagai tambahan, Thailand turut diumumkan sebagai tuan rumah Anugerah Tahunan AFC 2026, satu lagi bukti kepercayaan terhadap kemampuan kepimpinan Madam Pang dan reputasi bola sepak Thailand di peringkat antarabangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram