[VIDEO] Murid tak sihat, guru SK Lemoi gendong 'Bah Yo' hantar pulang, lalu titi kayu untuk seberang sungai


  • Bonda
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Tangkap layar memaparkan guru berkenaan menggendong muridnya meniti titi kayu di atas sungai sehingga ke rumah.

INISIATIF seorang guru lelaki menggendong muridnya yang tidak sihat hantar ke rumah mendapat perhatian ramai di media sosial.

Menerusi video dikongsikan di TikTok  ghaus_suahg pada Selasa, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi, Cameron Highlands, Pahang berkenaan dilihat menggendong seorang murid lelaki sambil meniti titi kayu di atas sungai sehingga ke rumah.

Beliau berkata, pada hari kejadian, murid tersebut tidak mampu berjalan akibat demam.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ada vibe harmoni dan hormat', usaha murid di Pulau Pinang rai majlis perpisahan petanda masih ada guru berjaya didik dengan baik

BACA LAGI: Santuni mereka selagi daya, kisah guru bantu murid anak yatim jadi teladan

“Anak murid tak sihat hari ini, jadinya kita hantar Bah Yo balik rumah.

"Baru jalan dua tiga langkah, Bah Yo tak larat dan terduduk. Jadi kenalah dukung sampai rumah,” tulisnya dalam kapsyen video tersebut.

Selain menunjukkan rasa kasih terhadap anak didik, guru itu turut menitipkan pesanan agar masyarakat menghargai keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara di kawasan pedalaman tersebut.

Mengulas keadaan titi yang digunakan sebagai laluan harian penduduk, ujar beliau, penduduk setempat selesa dengan persekitaran sedia ada dan berharap keaslian alam sekitar tidak diubah oleh pembangunan.

“Biarkan ia kekal sebagai alam semula jadi. Mereka di sini juga selesa dengan keadaan sekeliling.

"Lagipun lokasi ini di pedalaman, jadi kita sama-sama ambil yang positif,” katanya.

Video berkenaan yang merakamkan suasana sungai jernih dan kehijauan hutan turut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya.

Pengguna akaun SuHana888 berharap agar segala pengorbanan dan keikhlasan cikgu itu menjadi asbab darjatnya diangkat dan menemui jalan ke syurga.

Sementara itu, wansagu turut memuji keindahan persekitaran lokasi tersebut.

"Sungai sangat cantik, bersih dan nyaman. Semoga rezeki cikgu pun mengalir seperti air sungai itu, Amin,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, dinbahari67 menitipkan pesan agar anak didiknya sentiasa mengingati jasa beliau.

"Hari ini cikgu mungkin teringat jasa guru-guru yang mengajar dulu.

"Suatu masa nanti, anak-anak inilah pula yang akan mengingati jasa cikgu. Jasamu dikenang sepanjang zaman,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram