[VIDEO] 20 tahun dipenjara Zionis, bapa bertemu anak OKU buat kali pertama


  • Bonda
  • Rabu, 15 Okt 2025

Selepas 20 tahun, lelaki itu akhirnya dapat bertemu anak lelakinya yang mempunyai keperluan khas buat kali pertama. — Agensi

HAMPIR 2,000 rakyat Palestin yang sebelum ini dipenjarakan rejim Zionis  kembali bersatu dengan keluarga mereka dalam satu pertukaran tahanan tebusan ditahan oleh Hamas di Gaza.

Daripada jumlah itu, 250 orang merupakan banduan disabitkan dengan kesalahan berat termasuk jenayah berkaitan keselamatan.

Ratusan penduduk dilihat berkumpul di Ramallah, Tebing Barat dan di Hospital Nasser, Khan Younis, Gaza pada Isnin bagi menyambut kepulangan insan tersayang selepas sekian lama terpisah.

BACA LAGI: [VIDEO] Satu pesawat nyanyi lagu hari jadi Mat Zin ke-100 tahun, cucu kongsi atuk teringin nak jumpa Tun M

BACA LAGI: [VIDEO] Hampir seumur hidup mandi guna pencuci pinggan, pakcik jual belon sebak dapat sabun mandi

Daripada jumlah dibebaskan, 250 banduan yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup turut dilepaskan.

Bagaimanapun, 154 daripadanya dihalau ke Mesir dan menurut pihak berkuasa, mereka akan dihantar ke negara ketiga.

Selain itu, 1,700 orang lagi ditahan di Gaza sepanjang tempoh perang turut dibebaskan.

Menurut laporan Associated Press (AP), kesemua tahanan dari Gaza itu tidak pernah didakwa secara rasmi oleh Zionis.

Sementara itu, beberapa bekas tahanan yang ditemu bual oleh ABC News mendakwa mereka didera dan dipukul secara berterusan semasa dalam tahanan Israel.

Antara detik paling menyentuh hati dalam gelombang pembebasan itu kisah seorang tahanan Palestin yang dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza pada 13 Oktober.

Selepas 20 tahun meringkuk dalam penjara, lelaki itu akhirnya dapat bertemu anak lelaki yang mempunyai keperluan khas buat kali pertama.

Video pertemuan mengharukan itu tular di media sosial dan menggamit air mata ramai warga maya yang menyaksikannya.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan si anak terpinga-pinga dan agak kekok seperti tidak mengenali bapanya sendiri yang baru bebas selepas dua dekad dipisahkan oleh tembok penjara.

Momen itu menjadi simbol harga yang dibayar oleh rakyat Palestin akibat konflik berpanjangan.

Bukan sahaja kehilangan kebebasan, tetapi juga masa dan hubungan keluarga yang tidak dapat digantikan.

Sambil rakyat Palestin menyambut dengan berhati-hati detik penting selepas dua tahun perang, kegembiraan bercampur kebimbangan apabila rundingan damai jangka panjang antara Israel dan Hamas masih belum menemui titik penyelesaian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram