‘Sembang intim’ cerminan rumah tangga bahagia, asalkan hanya kongsi suami, isteri — Pak Utih


  • Cinta
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Sembang intim merangkumi apa sahaja perbualan dan perkongsian antara suami dan isteri tanpa sebarang batasan. — Gambar hiasan

SALAH satu rahsia utama kebahagiaan dalam rumah tangga adalah apabila suami dan isteri mampu mengamalkan komunikasi yang rapat dan terbuka, atau disebut sebagai 'sembang intim'.

Perunding kekeluargaan, Ahmad Shafiai Uda Jaafar yang lebih dikenali sebagai Pak Utih berkata, sembang intim bukanlah semata-mata berbicara mengenai hal romantik.

Sebaliknya ujar beliau, ia merangkumi apa sahaja perbualan dan perkongsian antara suami dan isteri tanpa sebarang batasan.

BACA LAGI: 'Selamat Hari Polis ke-218 arwah suami, Insya-ALLAH hari ini kita jumpa di pusaramu'

BACA LAGI: Rumitnya konflik suami isteri, mesti cepat bawa berbincang atau lebih baik teruskan berdiam diri

“Sembang intim ini adalah sembang atau perkongsian antara berdua, apa saja, tiada halangan.

"Mereka seolah-olah satu kepala, tapi dalamnya ada dua otak, suami otak kanan isteri otak kiri. Saling berkongsi, hanya antara mereka berdua,” katanya menerusi perkongsian di TikTok miliknya, pakutih pada Khamis.

Penulis buku Suami Hensem Isteri Ohsem itu menambah, komunikasi sebegini menjadi tanda bahawa pasangan itu benar-benar serasi dan saling memahami antara satu sama lain.

Mengambil contoh kisah Rasulullah SAW dan Saidatina Aisyah, Pak Utih berkata, baginda tidak pernah memarahi isterinya walaupun Aisyah menceritakan kisah panjang mengenai 11 wanita dan suami mereka, sebagaimana diriwayatkan dalam hadis sahih al-Bukhari.

Pak Utih juga merupakan penulis buku berjudul Suami Hensem Isteri Ohsem.

“Nabi SAW mendengar sahaja, tidak marah. Malah Baginda memberi respons dengan penuh kasih dan turut menambah cerita.

"Ini menunjukkan Baginda mendengar dengan hati, bukan sekadar telinga,” ujarnya.

Menurut beliau, kemampuan untuk berbicara tanpa rasa takut dihakimi atau disekat adalah petanda hubungan yang sihat dan bahagia.

Jelasnya, jika pasangan boleh berkongsi apa sahaja tanpa rasa malu atau segan, itu tandanya hubungan mereka intim dan stabil.

"Namun kalau nak bercakap pun rasa tak elok atau takut, itu tanda ada jarak antara mereka,” kongsinya.

Pak Utih turut menasihatkan agar segala bentuk sembang intim itu kekal menjadi rahsia dan hanya dikongsi antara pasangan semata-mata.

“Apa yang dibualkan itu untuk berdua sahaja, jangan dikongsi keluar. Bila mampu berbuat demikian, Insya-ALLAH pasangan itu berada di landasan rumah tangga yang bahagia,” katanya lagi.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegra