
PASANGAN selebriti popular, Fattah Amin dan Amira Othman diraikan dalam majlis persandingan penuh adat dan tradisi Melayu yang berlangsung meriah di Dewan Persada Johor Bahru, Johor pada Sabtu.
Majlis berkonsepkan tradisional klasik Melayu itu menyaksikan pasangan mempelai tampil anggun dan segak dalam persalinan rekaan pereka fesyen terkenal, Fiziwoo yang menampilkan busana serba putih gading.
Fattah mengenakan baju Melayu Teluk Belanga lengkap dengan samping songket dan songkok hitam, manakala Amira pula tampil mempesona dalam busana kurung moden dengan sentuhan perincian sulaman halus labuh yang menaikkan seri raja sehari.
BACA LAGI: Gagal lunas nafkah, Nurin Alisa dakwa bekas suami enggan jaga anak, dibiarkan tidur luar rumah
Pelamin yang menjadi tumpuan tetamu turut dihias indah dengan taburan bunga merah dan sentuhan ukiran perak, menyerlahkan suasana eksklusif namun tetap mengekalkan nilai keanggunan tradisional.
Menerusi hantaran pereka duo Fiziwoo di media sosial mereka menitipkan, "Pasangan istimewa Fattah dan Amira tampil anggun dalam busana rekaan khas Fiziwoo Artisanal menggabungkan keindahan tradisi Johor dengan sentuhan moden penuh jiwa.
"Setiap helaian benang tulang belut dan sulaman ayak dijahit dengan doa, setiap perincian mencerminkan kasih dan kehalusan seni Rumah Fashion Fiziwoo. Sekalung tahniah untuk kedua mempelai hingga ke akhir hayat."
Majlis persandingan itu dihadiri oleh ahli keluarga terdekat, rakan artis serta kenalan rapat kedua-dua pihak selain turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Unifi TV.
Perkahwinan Fattah dan Amira turut mendapat perhatian peminat di media sosial yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan doa agar rumah tangga mereka kekal bahagia hingga ke syurga.
Dengan penampilan serba putih dan suasana sarat dengan elemen budaya, majlis perkahwinan Fattah dan Amira bukan sahaja meraikan penyatuan dua hati, tetapi turut mencerminkan keindahan adat Melayu yang terus segar dalam majlis perkahwinan moden masa kini.
Untuk rekod, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, menamatkan zaman duda dengan menikahi Amira pada 14 September lalu di sebuah resort di Sepang. Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram