BELANJAWAN MADANI 2026 dijangka terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat dengan memberi tumpuan khusus kepada kesejahteraan wanita dan golongan berkeluarga.
Langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk membina ekosistem sosial yang lebih inklusif dan menyokong keseimbangan hidup antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga.

Berikut merupakan antara manfaat membabitkan golongan berkenaan:
1. Pelepasan cukai pendapatan individu
Kerajaan bercadang pelepasan cukai pendapatan individu RM3,000, ke atas perbelanjaan yuran taman asuhan atau taman didikan kanak-kanak yang berumur sehingga enam tahun.
2. Program Peluang Kedua banduan wanita
Peruntukan sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk memperkasa Program Peluang Kedua untuk manfaat 1,700 individu termasuk bekas penagih di Pusat Pemulihan penagihan Narkotik; dan Peluang Kedua kepada 3,000 bekas banduan wanita yang tidak mendapat sokongan keluarga.
3. Kelayakan i-Suri
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan peningkatan umur kelayakan skim i-Suri daripada 55 tahun kepada 60 tahun.
Langkah itu selaras dengan usia persaraan minimum bagi memastikan lebih ramai wanita terutama suri rumah mendapat perlindungan sosial yang berterusan.
4. Mempertingkatkan kebajikan pelarian kanak-kanak
Sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian serta menaik taraf tiga Depot Tahanan Imigresen dan tiga Baitul Mahabbah menjadi Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka melibatkan golongan dewasa dan kanak-kanak.
Langkah itu mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan kebajikan pelarian diurus dengan lebih teratur, berperikemanusiaan dan selamat yang selari dengan matlamat Malaysia MADANI.

Murid sekolah kerajaan akan menerima RM150 Bantuan Awal Persekolahan termasuk golongan OKU. — Gambar hiasan
5. Bantuan awal persekolahan RM150
Semua 5.2 juta murid sekolah kerajaan akan menerima RM150 Bantuan Awal Persekolahan dengan peruntukan RM800 juta dengan penyaluran bantuan akan dibuat di sekolah melalui guru kepada ibu bapa.
Selari dengan tuntutan literasi digital, televisyen pintar akan dibekalkan kepada 10,800 kelas prasekolah, taska dan tabika seluruh negara dengan kos RM70 juta.
6. RUU Jenayah Siber digubal tangani jenayah siber
Peranan D11 PDRM diperkasa dalam menangani jenayah seksual yang mengeksploitasi kanak-kanak di ruang siber.
Peruntukan RM20 juta turut disalurkan bagi memodenkan sistem dan kepakaran forensik digital.
7. Pendidikan awal kanak-kanak terus diperkasa
Kemudahan taska perpaduan di seluruh negara ditambah baik dengan peruntukan RM20 juta.
Tabika KEMAS dalam masa sama akan menyediakan Kelas Tunas Istimewa di setiap negeri untuk kanak-kanak mild autism antaranya di Tabika Komta Gong Kuin, Kuala Nerus, Terengganu; Tabika Kerupang 3, Labuan, Sabah; dan Tabika FELDA Teloi Timur, Kuala Ketil, Kedah.
8. Program Celik MADANI
Program Celik MADANI oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diteruskan dengan pemberian pelaburan awal RM50 dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kepada 200 ribu pelajar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
