'Orang nampak sekarang hidup senang, tapi 5 tahun pertama perit', isteri terharu suami tak pernah biar keluarga kelaparan


  • Cinta
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Pasangan suami isteri perlu cekal menghadapi ujian saat lima tahun pertama perkahwinan. — Gambar hiasan/Janaan AI

BAGI sesetengah pasangan, lima tahun usia pertama perkahwinan sering menjadi tempoh paling mencabar terutama dari segi kewangan.

Namun, bagi pasangan muda ini, setiap kesusahan dilalui terbukti menjadi batu loncatan kepada kehidupan yang lebih stabil dan bermakna buat seisi keluarganya.

Segalanya bermula pada 2021, ketika @Dayangku Rosli dan suami nekad berhenti kerja dan berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baharu.

BACA LAGI: Kisah pilu di sebalik tirai besi, polis 'murah hati' izinkan banduan lepas rindu peluk, tidur dengan anak

BACA LAGI: Gagal lunas nafkah, Nurin Alisa dakwa bekas suami enggan jaga anak, dibiarkan tidur luar rumah

Suami mengambil keputusan menjadi pemandu e-hailing sepenuh masa, manakala isterinya pula bekerja sebagai ejen takaful sambil menguruskan rumah tangga dan anak kecil.

Pada awalnya, rezeki mereka nampak murah dengan pendapatan mencecah RM6,000 sebulan walaupun ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Namun, pada hujung tahun sama, dugaan besar menimpa apabila kereta yang menjadi sumber pendapatan utama keluarga tenggelam dimasuki air akibat banjir besar di Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Hal itu menyebabkan kehidupannya berubah sepenuhnya sehinggakan suami terpaksa meminjam nama kakak untuk membuat pinjaman membeli motosikal, semata-mata bagi meneruskan kerja penghantaran makanan melalui platform berbeza.

"Dia ibarat kais pagi makan pagi, pendapatan cukup-cukup untuk bayar rumah, bil dan keperluan asas tak ada lebih," kongsinya dalam satu hantaran di laman Threads.

"Tapi bila ingat balik, 2021, 2022, 2023 struggle walaupun orang kata tak ada baki, masih cukup tau anak tak pernah tak ada susu, makan minum harian sentiasa ada walaupun tak mewah," katanya.

Pengurus projek

Pertengahan 2023 menjadi titik perubahan apabila suami diterima bekerja secara tetap dengan gaji sederhana, namun tetap melakukan kerja penghantaran pada hujung minggu bagi menampung keperluan keluarga.

Setahun kemudian, rezeki semakin terbuka apabila suami beliau dinaikkan pangkat sebagai jurutera, sebelum akhirnya dilantik sebagai pengurus projek pada 2025.

Bagi @Dayangku Rosli, setiap kenaikan pangkat itu bukan sekadar perubahan jawatan, tetapi lambang kepada usaha dan kesabaran suaminya yang tidak pernah mengeluh biarpun penat bekerja tujuh hari seminggu tanpa henti.

"Orang nampak sekarang hidup senang, tapi lima tahun pertama tu sangat perit, suami saya tak pernah biar kami lapar, walau dia sendiri terpaksa berjimat makan.

"Bila dia sabar dan ikhlas jalankan tanggungjawab, ALLAH ganti semua dengan rezeki yang lebih baik," katanya.

Perkongsiannya menjadi bukti bahawa tempoh awal perkahwinan bukan hanya tentang cinta dan keseronokan, tetapi juga berkait rapat soal ketabahan dan saling mempercayai antara satu sama lain.

Ujian lima tahun pertama penuh kesusahan akhirnya menjadi saksi bagaimana kesabaran, doa dan kerja keras mampu mengubah nasib keluarganya ke arah kehidupan yang lebih baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram