
HUBUNGAN bapa dan anak sering kali dipandang rendah ekoran segelintir pihak yang menganggap ia kurang bernilai dari segi kasih sayang dan keakraban berbanding ibu.
Namun, kisah menyayat hati yang berlaku di sebuah penjara Jambi, Indonesia baru-baru ini membuka mata ramai pihak bahawa tali ikatan itu masih utuh dan mustahil dipisahkan walau di sebalik tirai besi.
Tindakan seorang anggota polis mempertemukan seorang banduan dan anaknya di penjara pada Rabu, meraih pujian ramai ekoran sifat keprihatinan dan toleransi ditunjukkan ketika itu.
BACA LAGI: Gagal lunas nafkah, Nurin Alisa dakwa bekas suami enggan jaga anak, dibiarkan tidur luar rumah
Menerusi video dimuat naik di laman Instagram @wgshub melihatkan seorang kanak-kanak lelaki dibenarkan tidur di luar sel tahanan di samping ayahnya sedang menjalani hukuman penjara.
Tindakan berperikemanusiaan itu dilakukan oleh anggota polis, Bripka Handoko yang cukup prihatin atas permintaan tahanan tersebut.
Difahamkan, hal itu bertujuan membantu si bapa melepaskan kerinduan selepas setelah sekian lama terpisah dan tidak bersua muka dengan anaknya.
Menariknya, ia bukan kali pertama Bripka Handoko mempamerkan empati terhadap banduan di penjara selepas beberapa kali difahamkan pernah bertindak sedemikian.
Sejak 2023, beliau cukup dikenali sebagai pegawai polis berhati lembut sering memberi peluang kepada anak-anak bertemu orang tua mereka yang sedang menjalani hukuman penjara.
Malah, pada tahun sama, namanya pernah tular selepas membuka pintu sel bagi membolehkan seorang anak perempuan kecil memeluk ayahnya di sel tahanan.
Rata-rata warganet memuji keikhlasan dan nilai kemanusiaan yang ditunjukkan Bripka Handoko dalam menjalankan tugasnya sebagai anggota penguat kuasa undang-undang.
Inisiatif beliau dianggap sebagai kisah teladan yang membuktikan bahawa tugas seorang anggota polis bukan sekadar menegakkan undang-undang, tetapi juga mengutamakan nilai kemanusiaan dan kasih sayang walau bergelar banduan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram